Dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang tidak menyokong BN dalam persidangan dewan itu semalam menghadapi kemungkinan dipecat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Kedua-dua Adun BN itu, Lim Boo Chang (BN-Datuk Keramat) dan Tan Cheng Liang (BN-Jawi), mengambil pendirian berkecuali dalam undian sama ada menolak atau menerima usul yang dibawa oleh pembangkang.
Menurut laporan
Bernama
, usul itu dibawa oleh Adun DAP Batu Lancang Law Heng Kiang yang menggesa kerajaan negeri menangguhkan projek Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) yang didakwanya mendatangkan pelbagai masalah kepada rakyat.
Law juga mencadangkan agar projek itu hanya dimulakan setelah Laluan Ekpress Jelutong disiapkan terlebih dahulu. Ketika undian dijalankan, Lim dan Tan membuat pendirian berkecuali daripada mengundi.
Abdullah, ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal kawasan Bertam di Pulau Pinang, berkata kedua-dua Adun BN itu telah melakukan kesalahan besar dan melanggar disiplin parti.
Laporan segera
"Saya telah mengarahkan Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai Pengerusi BN negeri dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Helmi Yahya sebagai ketua penyokong BN di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang untuk menghantar laporan segera kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi BN," katanya.
Usul pembangkang itu telah menimbulkan berdebatan hangat dan Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menjelaskan bahawa projek itu tidak membabitkan perbelanjaan kerajaan negeri kerana ia merupakan rancangan kerajaan pusat.
Ketika Speaker Datuk Yahaya Abdul Hamid meminta undian dibuat selepas ia dibahaskan, ketua pembangkang Abdul Rahman Abdul Kadir (Keadilan-Penanti) meminta undian dibuat secara berasingan bagi mendapatkan keputusan setiap individu dalam dewan.
Apabila Yahaya membuat undian dengan memanggil nama setiap Adun, Lim dan Tan membuat keputusan untuk berkecuali dan tidak turut mengundi.
Usul itu yang hanya disokong oleh tiga ahli pembangkang ditolak apabila 19 anggota penyokong kerajaan yang lain menolaknya.
