BERITA

Nik Aziz: Politik Melayu kukuh jika Umno tukar dasar

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Jul 2010, 2:16 pagi

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kekuatan politik orang Melayu adalah bergantung kepada kesediaan Umno untuk menukar dasarnya kepada Islam.

"Pada saya, kalau Umno tukar dasarnya daripada Melayu kepada Islam, orang Islam makin kuat dan politik Melayu bertambah kukuh.

"PAS selama 20 tahun mentadbir Kelantan adalah hasil daripada sokongan semua bangsa dan agama dan merekalah yang mengundi PAS atas nama Islam. Kalau tidak masakan PAS dapat menang besar tahun 1990 dan 2008 lalu," kata menteri besar Kelantan itu dalam satu kenyataan di Kota Bharu hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata apa yang berlaku di Kelantan adalah sebagai bukti bahawa dasar Islam diterima oleh majoriti rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, termasuklah orang Umno turut menyokong dasar Islam yang dibawa oleh PAS.

Beliau mengulas isu perpaduan antara PAS dan Umno apabila baru-baru ini dilaporkan bersetuju untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan perkara itu.

Namun Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz berkata pertemuan itu bukan untuk membincangkan politik sebaliknya akan bertumpu kepada kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob berkata kerajaan Kelantan pimpinan PAS hanya bersedia bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi pembangunan negeri termasuk merealisasikan cadangan pembinaan lebuh raya empat lorong yang menghubungkan Kuala Lumpur-Kota Bharu.

Katanya, kerajaan negeri bersedia berunding mengenai cadangan itu pada bila-bila masa.

"Saya harap cadangan itu diterima oleh kerajaan pusat memandangkan Kelantan mengeluarkan ramai modal insan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Koperasi Pembangunan Ladang Rakyat Kelantan, di Tumpat hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa kerajaan PAS Kelantan hanya mahu bekerjasama dengan kerajaan pusat jika ianya membabitkan kepentingan rakyat, dan bukan parti.

Ahmad yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan berkata kerjasama politik sukar dilakukan kerana dasar parti masing-masing yang berbeza.

"Kalau kerjasama untuk kebaikan rakyat antara kerajaan dengan kerajaan, kita sedia pada bila-bila masa. Kalau kerjasama parti biar dulu," katanya.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga timbalan presiden Umno menyatakan parti itu sedia bekerjasama dengan PAS demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.