Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS ulangi pendirian tak kerjasama dengan Umno
Diterbitkan:  Jul 21, 2010 2:29 AM
Dikemaskini: 2:53 AM

PAS sekali lagi menegaskan bahawa parti itu tidak berhasrat bekerjasama dengan Umno yang didakwanya menjadi sekutu Yahudi- Zionis.

Sehubungan itu, naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyeru seluruh umat Islam dan orang Melayu supaya tidak terperangkap dengan agenda politik murahan Umno yang memukul gendang perpaduan.

“Inilah agenda Umno pada setiap kali sesak nafas mereka akan meminta 'oksigen' dari PAS,” katanya dalam satu kenyataan.

azlan Ahli parlimen Pokok Sena itu juga mengulangi pendirian PAS yang tidak akan bekerjasama dengan Umno yang didakwa menjadi sekutu zionis Yahudi.

“Umno secara jelas melalui pemimpin utamanya yang menguasai kerajaan telah melantik syarikat perunding Apco Worldwide yang merupakan proksi kepada gerakan zionis antarabangsa yang menjaga kepentingan politik Israel dan Amerika sebagai penasihat kerajaan Umno-BN.

“Perbuatan ini satu pengkhianatan kepada perjuangan umat Islam dan rakyat Palestin,” katanya.

Mahfuz juga mengucapkan terima kasih kepada mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang bijak membuat bacaan politik bahawa kuasa politik Melayu Umno akan hilang.

azlan Katanya, kenyataan mufti itu menambahkan lagi keyakinan bahawa PAS mengambil tempat Umno dan memberi harapan baru kepada umat Islam dan bangsa Melayu.

“PAS menyeru seluruh umat Islam dan orang Melayu untuk bersama menyertai PAS bagi memikul tugas baru untuk meletakkan kembali Melayu dan Bumiputera pada landasan yang betul dan membangunkan Malaysia bersama semua kaum sebagai warganegara Malaysia yang bertanggungjawab,” katanya.

Katanya lagi, PAS akan terus memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat bagi membina Malaysia baru dan terus melindungi Islam.

ADS