Cadangan pembinaan stesen bas baru Shah Alam berdekatan Jalan Batu Tiga Lama dicadangkan dipindahkan ke tempat lain memandangkan potensi berlakunya kesesakan jalan raya luar biasa sekitar kawasan itu.
Ahli parlimen bagi kawasan itu Khalid Samad berkata, antara cadangan tempat alternatif yang dikumpulkannya setakat ini ialah di seksyen 15 - tempat sebuah kilang arak beroperasi pada masa ini.
Katanya, menurut cadangan yang diutarakan melalui blognya, bagi menjayakan cadangan ini, kilang tersebut boleh dipindahkan ke tapak lain di Pulau Indah, Klang.
"Ini cadangan yang paling menarik. Sekurang-kurangnya pintu masuk ke Shah Alam bukan di balik kilang arak," katanya yang juga yang dipertuan PAS Shah Alam.
Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di bandaraya itu hari ini, Khalid menjelaskan, buat masa ini tempat itu dilihat sesuai memandangkan dekat dengan lebuh raya ke pelbagai kawasan dan mempunyai kemudahan pengangkutan awam.
"Kalaupun mungkin (kosnya) lebih mahal sedikit, tetapi untuk jangka masa panjang OK," katanya mengulas cadangan stesen bas baru yang mampu menempatkan 60 buah bas itu.
Katanya, menurut cadangan sekarang, stesen itu akan dibina dalam dua fasa di simpang antara Jalan Baru Tiga Lama, Jalan Subang dan Lebuh raya persekutuan.
Ia dicadang tidak dibina bersambung, sebaliknya dua blok di kiri dan kanan Jalan Subang dan bersambung melalui terowong bawah tanah, tambahnya.
'Projek pokok pisang, ubi kayu'
Projek itu,tambahnya, kini masih di peringkat tender.
Khalid berkata dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dua minggu lalu, isu kemungkinan berlakunya kesesakan jalan raya di Jalan Batu Tiga lama telah dibangkitkan.
Sehubungan itu, tambahnya, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan supaya cadangan itu dikaji semula, termasuk mempertimbangkan tempat alternatif dan pelan bagi mengatasi kesesakan.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Khalid turut mendesak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penswastaan sebuah projeknya di Seksyen 20 Shah Alam.
Katanya, seperti dimuatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008, projek pembinaan 120 unit kuaters MBSA, kondominium dan stesen minyak bernilai jutaan ringgit, diswastakan kepada syarikat dengan modal berbanyar hanya RM10,000.
Projek yang diluluskan oleh kerajaan BN pada 1999 itu juga didakwa tidak siap sepenuhnya sehingga kini "yang hanya ditanan dengan pokok pisang dan ubi kayu".
"Biar MBSA buat dulu. Kalau dia tidak buat, saya buatlah," katanya.
Ahli MBSA Azli Yusof yang juga timbalan YDP PAS Shah Alam turut hadir dalam sidang media tersebut.
