Malaysiakini BERITA

PAS S'gor: Tak perlu saman Harussani

Jimadie Shah Othman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PAS Selangor berpendapat pihaknya tidak perlu menyaman mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berhubung isu kerjasama PAS-Umno, kata ketua penerangannya.

Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, kontroversi pertemuan pesuruhjayanya Datuk Hasan Ali dengan Harussani tidak pernah menjadi isu bagi PAS dan gabungan pembangkang di negeri itu.

"Penjelasan Datuk Hassan itu dengan sendirinya membersihkan namanya. Saya rasa isu saman ini tidak relevan," katanya.

azlan Semalam Hasan ( gambar, kanan ) diminta mengambil tindakan undang-undang terhadap Harussani ekoran dakwaannya bahawa pemimpin PAS itu telah menemuinya untuk membincangkan kerjasama politik PAS-Umno.

Perkara itu timbul dalam majlis munaqasah (perbincangan) PAS negeri itu di dewan auditorium MBSA di Shah Alam semalam, demikian menurut ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Ahli parlimen Kota Raja, Siti Mariah Mahmud dilapor mengemukakan cadangan tersebut ekoran implikasi serius dakwaan tersebut terhadap perpaduan parti.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Roslan mengesahkan isu pertemuan itu dibangkitkan dalam munaqashah parti itu semalam.

Bagaimanapun, tambahnya, program itu tidak dikhususnya bagi membincangkan perkara itu, sebaliknya membahaskan ucapan dasar presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar lalu.

Harussani terus dituduh berbohong

"(Cadangan saman) itu (hanya) pendapat Dr Mariahlah," katanya yang juga bekas setiausaha politik kepada Abdul Hadi itu.

Setelah pelbagai spekulasi dibuat, Hasan kelmarin mengakui bertemu dengan Harussani Zakaria kira-kira dua bulan lalu, tetapi tanpa agenda sulit.

Katanya, pertemuan yang diadakan sehari sebelum mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu bertujuan bagi meraih kebaikan bersama demi untuk kemajuan Islam dan kesejahteraan umat.

Beliau juga dilaporkan menegaskan tidak ada agenda khusus membincangkan soal politik perpaduan kerana tidak pernah diberi mandat PAS untuk tujuan itu.

NONE Ekoran pengakuan itu, naib presidennya Datuk Mahfuz Omar terus menuduh Harussani berbohong dan memintanya memohon maaf secara terbuka pada PAS dan seluruh orang Melayu-Islam

"Datuk Harussani sepatutnya meletakan jawatan mufti Perak kerana beliau pernah menyatakan sebagai mufti beliau tidak berbohong, sedangkan pendedahan Hassan Ali menjelaskan pembohongan Harussani," katanya.

Usaha Malaysiakini mendapatkan ulasan mufti tersebut setakat ini belum berhasil.