Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DUN Perlis: Banyakkan misi pelaburan, kata Shahidan
Diterbitkan:  Jul 29, 2010 8:58 PM
Dikemaskini: 1:05 PM

Perlis boleh memikat lebih banyak pelabur jika misi pelaburan lebih kerap dilakukan, kata bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim hari ini.

    

Menurutnya,  seboleh-bolehnya misi pelaburan itu dilakukan dua bulan sekali dan membawa lebih banyak anggota rombongan.

umno supreme council special meeting 260809 shahidan kasim Ketika membahaskan rang undang-undang Enakmen Yayasan Perlis 2010 di persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis hari ini, Shahidan (BN-Tambun Tulang) berkata, sekiranya hanya seorang yang pergi keluar negara untuk mencari pelabur, ia adalah kurang berkesan.

    

Beliau berharap pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan  Perindustrian Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail dapat mengetuai kumpulan yang lebih besar jika mengadakan lawatan untuk misi pelaburan.

    

Hashim Jasin (PAS-Sanglang) yang turut mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang itu berharap kerajaan negeri mengenepikan sentimen politik dalam melantik ahli-ahli bagi Yayasan Perlis.

Katanya, apa yang lebih utama ialah pemilihan pegawai yayasan itu perlu berasaskan kebolehan dalam bidang tertentu dan tidak semata-mata politik.

Menteri Besar Perlis, ketika mencadangkan rang undang-undang itu berkata, yayasan itu antara lain bertujuan  membantu kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf sosio ekonomi dan kebajikan penduduk Perlis.

    

Rang undang-undang itu  kemudiannya diluluskan.

    

Dewan yang berakhir hari  ini turut meluluskan usul mengutuk sekatan dan kekejaman rejim Zionis Israel  terhadap misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Empangan hilang air    

Sementara itu, Dewan diberitahu bahawa Empangan Timah Tasoh mengalami kehilangan air sebanyak 2.65 juta meter padu sebulan, dan jumlah itu merupakan kira-kira 10 peratus daripada kapasiti  takungan semasa.

    

Pengerusi Jawatankuasa  Tanah, Perhutanan, Penguatkuasaan dan Alam Sekitar Perlis Mat Rawi Kassim berkata kehilangan air di empangan yang dibina pada 1992 itu berlaku melalui proses sejatan, resapan dan rumpai.

    

Menjawab soalan lisan Khairi Hassan (BN-Mata Ayer), beliau berkata, kadar kehilangan itu lebih tinggi berbanding bekalan domestik berjumlah 1.62 juta meter padu sebulan.

    

Katanya, bekalan air empangan itu diberi keutamaan untuk kegunaan domestik dan ia tidak akan dibekalkan bagi keperluan tanaman padi luar musim.

Pusat biotek herba

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Perindustrian Perlis Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail pula memberitahu Dewan bahawa projek pusat biotek herba di Sungai Batu Pahat, dijangka siap pada 3 Mei 2011.

Menjawab soalan lisan Hashim Jasin (PAS-Sanglang), beliau berkata projek itu dilaksanakan oleh Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd di  bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan kos RM11.3 juta.

Pada masa ini, kemajuan projek itu telah mencapai tahap 18 peratus sejak tapaknya diserahkan kepada syarikat berkenaan secara pajakan mulai 4 Februari lalu.

    

Kepada soalan Rus'seli Eizan (PAS-Simpang Empat), Syed Razlan berkata kerajaan akan membangunkan Kompleks Halal Park di Padang Besar, namun dengan saiz yang lebih kecil berbanding cadangan asal.

    

Mengikuti pelan asal projek itu, ia akan mengandungi komponen gudang guna sama, bilik pameran serta 24 unit bangunan industri kecil dan sederhana (IKS), melalui peruntukan sebanyak RM10 juta di bawah RMK-9.

    

Ia sepatutnya bermula pada 2006 dan beroperasi tahun 2008, tetapi tidak dapat diteruskan kerana beberapa masalah, termasuk tuntutan gantirugi oleh pengusaha tanaman sentang dan jati di tapak projek sebanyak RM500,000 selain kenaikan harga barang.

Bangunan IKS

Syed Razlan berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM665,500 bagi meneruskan projek itu namun dengan skop yang lebih kecil, kerana hanya membabitkan pembinaan 12 unit bangunan IKS sahaja yang dijangka siap akhir tahun ini.

    

Bagi memastikan kawasan itu berkembang sebagai "halal park" yang lebih sempurna, beliau berkata, kerajaan  negeri telah memohon peruntukan tambahan di bawah RMK-10 untuk meningkatkan infrastrukturnya termasuk membina komponen gudang pusat pengumpulan, blok pembungkusan dan 81 unit bangunan IKS.

    

Sementara itu, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu memberitahu Dewan bahawa tidak timbul isu sebuah sekolah menengah di Kangar mempunyai dua pengetua seperti yang dibangkitkan oleh Shahidan dalam soalan lisannya.

    

Katanya apa yang berlaku ialah pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Behor ditumpangkan di SMK Syed Hassan sementara menunggu sekolahnya beroperasi.

    

Beliau berkata walaupun kelihatan seperti terdapat dua pengetua di sebuah sekolah, namun mereka menjalankan tugas pentadbiran secara berasingan untuk sekolah masing-masing dan perkara itu akan selesai apabila pemindahan pelajar serta kakitangan SMK Padang Behor dilakukan kelak.

- Bernama

ADS