Most Read
Most Commented
Read more like this

versi terkini Sebuah laporan berita yang didakwa palsu berhubung kehadiran bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia, John R Malott, dalam satu taklimat tertutup semalam akan diadukan kepada polis esok.

Dua pemimpin kanan DAP dalam pengumuman ringkas hari ini bercadang membuat aduan itu di balai polis Jalan Stadium pada jam 9.30 pagi. Pengerusi Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung Kerk Kim Hock akan membuat aduan itu, dipercayai bagi pihak pakatan pembangkang.

Taklimat itu anjuran Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Wan Azizah Wan Ismail dibuat untuk menjelaskan isu kesihatan suaminya, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar kini masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit belakang sejak 25 November lalu.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan Malott "yang dikatakan 'terlalu kecewa' kerana Anwar disingkirkan daripada kerajaan" menghadiri taklimat tersebut di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, seorang kakitangan kanan akhbar harian itu memberitahu malaysiakini , kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur hari ini telah menghubungi pejabat akhbar itu bagi menafikan kehadiran Malott.

Menurut laporan agensi berita Bernama hari ini, jurucakap kedutaan itu James Warren berkata, "beliau (Malott) tidak berada di Malaysia (semalam)."

Laporan muka depan akhbar itu juga menyebutkan beberapa pemimpin utama parti pembangkang turut menghadiri majlis taklimat itu.

"Pemimpin parti-parti pembangkang termasuk PAS Datuk Fadzil Noor, Pengerusi DAP Lim Kit Siang, Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali, Setiausaha Agung DAP Kerk Kim Hock dan beberapa sahabat Anwar dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) juga hadir," lapor akhbar itu dengan tajuk 'Bekas duta Amerika hadiri pertemuan sulit Keadilan'.

Mereka bagaimanapun menafikan laporan tersebut. Menurut Bernama hari ini, Kerk berkata beliau berada di hotel itu untuk menghadiri mesyuarat pakatan pembangkang.

"Semua pemimpin yang disebut dalam berita itu tidak menghadiri pertemuan tersebut," kata Syed Husin dalam satu kenyataan kepada malaysiakini . "Kami telah menghadiri mesyuarat berkala majlis pimpinan Barisan Alternatif di bilik lain pada bangunan yang sama."

Beliau menyifatkan laporan itu "berbohong dan menyebarkan fitnah," sementara Naib Presiden Keadilan Tian Chua berkata laporan itu "berniat jahat."

"Laporan ini seolah-olah menggambarkan bahawa Keadilan mempunyai pakatan sulit dengan negara asing," tambah Tian.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS