BERITA

Zaid: Petisyen ditolak untuk elak PM diheret

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Ogs 2010, 3:22 pagi

Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim tidak hadir di mahkamah tinggi Rabu lalu untuk mendengar keputusan petisyennya mencabar keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor kerana telah menjangka permohonannya itu akan ditolak.

NONE Menulis dalam blognya, Zaid berkata apabila seorang hakim membenarkan masa yang secukupnya iaitu tiga hari kepada pihak yang mahu petisyen itu ditolak atas alasan teknikal (supaya kes itu tidak dapat peluang ke peringkat perbicaraan sepenuhnya, di mana segala butiran dan keterangan yang ada dan saksi akan dikemukakan), ini bermakna permohonan itu tidak akan berjaya.

"Alasan yang diberi ialah saya tidak menyenaraikan nama mereka yang telah menerima rasuah ataupun “bribe” tersebut. Nama mereka ada, dan kita akan ketengahkan saksi yang kita ada semasa perbicaraan.

"Tetapi mulakanlah perbicaraan itu. Mengapa takut sangat didengar keterangan pihak kami? Kalau pihak kami tak berjaya membuktikan selepas perbicaraan barulah sepatutnya permohonan ditolak.

"Apa perlu tolak awal-awal lagi? Alasan sebenar ialah mereka perlu melindungi ‘The Great PM’ daripada disoal oleh peguam kami. Pada mereka mana boleh PM datang ke mahkamah," kata Zaid.

NONE Kata beliau lagi, terdapat pelbagai macam rasuah pilihan raya umpamanya apabila aduan dibuat secara spesifik bahawa calon A menawarkan wang kepada B dan C untuk mengundinya, memang akan disenaraikan dalam petisyen nama B dan C.

"Tetapi inilah kali pertama kita ada PM yang membuat tawaran rasuah secara terbuka kepada orang ramai. Inilah kes ‘general bribery’ yang mustahil dapat kita senarai semua nama mereka yang ditawarkan wang tersebut.

"Mengikut keputusan ini, katakanlah kalau Perdana Menteri memberi ucapan melalui RTM1 pada kempen pilihan raya Sarawak nanti, dua hari sebelum mengundi, beliau berucap kepada semua rakyat Sarawak bahawa mereka akan diberi Amanah Saham percuma sebanyak 1000 unit kalau BN menang, siapa yang mahu membawa kes itu ke mahkamah mestilah menyenaraikan nama 2 juta  penduduk Sarawak!" kata Zaid.

Menurut beliau mahkamah mahu pihak yang membawa permohonan mesti membuktikan mereka yang menerima rasuah ini, dalam kes ini rasuah yang ditawarkan meyakinkan mereka mengundi BN.

NONE "Ini satu lagi syarat yang paling luar biasa dalam dunia ini. Bagaimanakah kami akan buktikan niat pengundi sebelum perbicaraan bermula? Lagipun soalan seperti 'Kamu undi siapa semasa pilihan raya?' tidak dapat disoal semasa perbicaraan kerana undi itu sulit.

"Akta Kesalahan Pilihan Raya tidak membenarkan kita bertanya soalan itu tetapi hakim terus menetapkan syarat sedemikian," ujar beliau.

Tambahnya, pihak beliau juga telah dipersalahkan kerana tidak mengeluarkan ucapan Najib sepenuhnya dalam petisyen.

"Kami bercadang untuk membentang rakaman ucapan itu semasa perbicaraan tetapi peluang tidak diberi. Inilah cara BN menang dalam segala hal," kata Zaid.

NONE Pihaknya juga tidak bercadang untuk membuat rayuan ke peringkat Mahkamah Rayuan memandangkan keputusan sama akan diberikan.

Beliau juga tidak berniat meneruskan tindakan susulan kerana tidak tidak mahu membuang masa peguam-peguamnya - Malik Imtiaz Sarwar, Azhar Azizan Harun dan Ang Hean Leng yang menawarkan khidmat guaman mereka secara percuma.

Mahkamah Tinggi menolak petisyen pilihan raya Zaid dan mengesahkan bahawa, P Kamalanathan dipilih secara sah sebagai ahli parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil  April lalu.

Keputusan dibuat oleh hakim Datuk Azhar Mohamed selepas membenarkan bantahan awal Kamalanathan bagi membatalkan petisyen Zaid.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.