Perdamaian di Aceh kikis imej ganas terhadap umat Islam
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyifatkan perjanjian damai antara kerajaan Indonesia dan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) yang dimeteraikan Isnin lalu, sebagai satu perkembangan ke arah mengikis imej keganasan yang dikaitkan dengan umat Islam sekarang.
Selain itu, ia juga dapat menyumbang ke arah kewujudan dunia yang bebas, tanpa kezaliman dan unsur-unsur penjajahan baru oleh mereka yang tamak kuasa, kata presiden Abim, Ahmad Azam Abdul Rahman.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, perjanjian damai itu juga menamatkan persengketaan selama 26 tahun yang telah mengorbankan lebih 10,000 nyawa semenjak 1976.
"Namun, atas semangat Islam, lebih-lebih lagi bersempena dengan ketibaan Syawal, banyak tolak ansur yang telah dipersetujui. Kini, Aceh diberi kuasa autonomi untuk mencorakkan pemerintahan tersendiri yang turut menguasai 70 peratus hasil mahsulnya," tambahnya.
Yang mengharukan, tegasnya, kedua-dua pihak yang bertelagah telah dapat menyetujui hal-hal yang sebelum ini tidak mendapat kata sepakat.
"Hasilnya, Indonesia masih utuh kekal sebagai sebuah republik yang tidak berpecah, manakala penduduk Aceh dapat berkuasa terhadap wilayah yang diduduki oleh kaumnya tanpa keluar daripada ikatan Republik Indonesia yang berpusat di Jakarta.
Kuasa autonomi
"Oleh itu, Abim, sebagai sebuah angkatan belia Islam, mengucap syabas dan tahniah kepada kedua-dua pihak yang telah bertungkus lumus berusaha untuk merealisasikan perdamaian ini," tambah Azam.
Sehubungan itu, Abim juga berharap belia Islam di Aceh dan seluruh Indonesia agar mengembleng tenaga ke arah pembangunan semula Aceh dan penduduknya.
Bagaimanapun, katanya, semua pihak masih perlu berwaspada terhadap kemungkinan wujudnya sebarang kuasa negatif yang mahu merosakkan perdamaian yang baru diwujudkan di Aceh
Menurut Azam, Aceh bukanlah sebuah wilayah yang asing bagi umat Islam di Malaysia kerana ia mempunyai pertalian erat dalam pembangunan dan perkembangan Islam dari zaman dahulu lagi.
"Lantaran itu, jika perpaduan dan pengemblengan tenaga belia Islam di seluruh nusantara dan dunia dapat dihakikatkan mengikut lunas-lunas Islam, maka tentunya Islam tidak terus terpaksa mempertahankan dirinya sahaja daripada ledakan serangan penentang Islam," tambah beliau.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now