Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) membantah cadangan memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana kedua-dua peperiksaan itu telah menjadi sistem penilaian yang berpengaruh dalam pembelajaran.
Pengerusinya, Datuk Omar Mohd Hashim berkata, selain itu, kedua-dua peperiksaan juga telah berkembang sebagai penjana motivasi kepada pelajar.
"Kedua-duannya (UPSR dan PMR) telah mengalami penjenamaan selama 50 tahun untuk mencapai status kedewasaan mantap sekarang, dan apa yang perlu dilakukan oleh Kementerian Pelajaran ialah memperbaiki dan menambah baik kedua-dua peperiksaan dari segi corak, kaedah serta format pengukuran yang lebih efektif, daripada memansuhkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada Mesyuarat Tahunan Majlis ke-55 PSM di Kuala Lumpur hari ini, yang dirasmikan bekas ketua polis negara Tun Mohammed Hanif Omar.
Omar, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya dan bekas timbalan ketua pengarah (I) pendidikan Kementerian Pendidikan berkata, sebagai sebuah persatuan yang dianggotai ramai bekas pengarah, timbalan pengarah serta pegawai kanan pendidikan, PSM tidak dapat mengelak daripada membincangkan isu itu.
- Bernama
