Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS mahu terang Islam pada Chua
Diterbitkan:  Aug 9, 2010 4:12 PM
Dikemaskini: 8:17 AM

Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa hari ini menyatakan hasratnya mahu bertemu dengan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek bagi menerangkan intipati Islam yang sebenar.

Ekoran ucapan kontroversi Chua berkaitan negara Islam baru-baru ini, Nasharudin berkata kenyataan itu muncul ekoran kekeliruannya terhadap Islam.

pas muktamar pc 070609 nasharudin mat isa "Beliau mungkin tidak mendapat gambaran yang jelas mengenai kesucian, kesyumulan dan keindahan Islam sehingga gagal menafsirnya dalam kerangka agama yang tepat dan betul," katanya.

"Fakta-fakta yang dikemukakan oleh beliau bukan kerana kecacatan dan ketempangan Islam, bahkan ia adalah kesilapan pemerintah yang mengamalkan korupsi dan penyelewengan kuasa kerana gagal mengimplementasikan prinsip-prinsip Islam dalam pentadbiran negara."

Pada 6 Ogos lalu, Chua dilaporkan membidas kedua-dua Umno dan PAS kerana didakwa menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu.

Merujuk kepada buku Syed Akbar Ali, Malaysia and the Club of Doom , Chua menyenaraikan semula beberapa ciri-ciri umum di 57 negara-negara Islam di seluruh dunia, antaranya, kurang demokrasi kerana terlalu mementingkan agama, pemimpin Islam veteran menikmati kuasa mutlak dan membuat dasar yang tidak setara dengan pembangunan global.

azlan Ucapan itu mengundang kritikan keras daripada pemimpin pembangkang sama ada yang Islam dan bukan beragama Islam, antaranya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Dalam kenyataannya hari ini, Nasharudin berkata berbeza dengan kenyataan Chua, Islam mempunyai penyelesaian terhadap pemasalahan yang berlaku dan mampu menyelamat manusia di dunia dan di akhirat.

Menyifatkan terkilan dengan kenyataan Chua itu, Nasharudin yang juga ahli parlimen Bachok berkata, PAS memperjuangkan Islam yang tulen.

ADS