ANTIDOTE Lebih banyak kontroversi membelenggui Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud apabila beliau mengeluarkan transkrip berhubung wawancaranya yang diadakan dengan sebuah stesen radio di Oxford, United Kingdom semasa lawatan menjual negeri itu yang dibiayai oleh keluarganya.
Pada wawancara itu, beliau menolak krtikan yang dilemparkan ke atas kerajaan negeri yang diterajuinya oleh NGO berhubung isu Penan.
Menurut Bernama , pada wawancara itu Taib bercakap dengan penuh “kesal” dengan NGO yang tidak mesra, khususnya dari luar negara berhubung masalah Penan. Beliau juga mengelakkan merujuk secara langsung berhubung nasib gadis Penan yang dicabuli oleh pembalak seperti yang dilaporkan oleh pasukan penyiasat kerajaan persekutuan.
Taib sebaliknya menuduh NGO berkenaan mahu supaya masyarakat Penan “dibiarkan berkeliaran di hutan seperti orang utan”, dan membandingkan kaum nomad Penan dengan “binatang”.
Penafian impak pembalakan ke atas masyarakat Penan bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana sebelum ini ada juga menteri muda Sarawak yang telah berbuat demikian. Alasan mereka - orang luar bertujuan untuk campurtangan dengan pembangunan Sarawak dan mereka mahu memulihara cara hidup Penan supaya ia dapat dijadikan ‘bahan muzium’ untuk tontonan masyarakat asing.
Penan dihina
Antara bidasan paling lantang dan menyakitkan hati adalah daripada bekas menteri alam sekitar Sarawak, Datuk James Wong Kim Min, 20 tahun lalu: “ Kita tidak mahu mereka berlari seperti binatang. Tidak mereka sepatutnya diajar mengenai kebersihan dan makan makanan bersih seperti kita?”
Sejak itu, ramai lagi pemimpin Sarawak termasuk Taib, timbalannya, Datuk Alfred Jabu mengulangi mantra yang hampir senada dengan alasan NGO asing itu cemburu dengan kejayaan ekonomi Malaysia dan menggunakan isu Penan bagi mensabotaj Sarawak.
Taib sendiri membidas masyarakat Penan sebagai tidak mengenang jasa kerana “syarikat pembalakan yang telah memberi makanan kepada Penan”.
Kegiatan pembalakan yang berleluasa di Sarawak menyaksikan sumber makanan yang dikutip dan juga diburu oleh masyarakat Penan kini semakin berkurangan.
Jika pada sekitar tahun 70an dan 80an kawasan perburuan dan memancing masih luas untuk kaum nomad Penan berkeliaran untuk kehidupan seharian mereka, namun aktiviti pembalakan menjadikan semuannya itu semakin sukar.
Sehingga Julai lalu, kira-kira 3,000 masyarakat Penan di Ulu Belaga kini diancam kelaparan kerana hasil pertanian yang mereka usahakan juga tidak menjadi.
