eksklusif MCA sepatutnya membangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) sekiranya parti itu tidak puas hati dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno di Terengganu yang tidak mengundi menentang rang undang-undang hudud di dewan undangan negeri itu Julai lalu.

Oleh itu, kata naib presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, adalah tidak wajar untuk mengaitkan perkara itu dengan isu dua Adun MCA di Pulau Pinang yang bersikap berkecuali daripada mengundi menentang membantah usul DAP supaya Projek Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) ditangguhkan sewaktu sidang dewan pada 21 Nov lalu.

Tiga Adun Umno Terengganu mengambil sikap berkecuali manakala seorang lagi tidak hadir, ketika dewan negeri mengundi untuk meluluskan rang undang-undang hudud oleh kerajaan PAS pada 8 Julai lalu walaupun mereka membantah pelaksanaannya ketika membahaskan perkara itu.

Sebelum ini, laman web rasmi MCA menyiarkan satu kenyataan dalam Mandarin mempertikaikan mengapa tindakan tidak diambil terhadap lima Adun Umno di Kelantan dan Terengganu PAS apabila rang undang-undang hukum hudud diluluskan di kedua-dua negeri terbabit.

Menurut kenyataan itu, pada November 1993, DUN Kelantan meluluskan sebulat suara (termasuk wakil Umno) Enakmen Syariah, kecuali dua Adun PAS yang cuti sakit.

Kali keduanya ialah ketika DUN Terengganu meluluskan Rang Undang-undang Jenayah Syariah (hudud dan qisas) pada 8 Julai lalu di mana tiga Adun Umno berkecuali daripada mengundi, dan seorang lagi tidak hadir.

Jangan ungkit

Menurut kenyatan itu lagi, tindakan Adun Umno terbabit adalah bercanggah dengan pendirian kepimpinan BN yang sentiasa menentang Undang-undang Syariah kerana ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, tetapi tiada sebarang tindakan diambil terhadap mereka.

"Tidak wajarnyalah perkara itu dibangkitkan sekarang. Apabila MCA dan parti komponen lain dalam BN tidak membangkitkannya, maka bagi kita bermakna mereka bersetujulah dengan perkara itu," kata Muhd Taib dalam wawancara dengan malaysiakini .

Menurutnya, mesyuarat Majlis Tertinggi BN adalah merupakan tempat terbaik untuk mana-mana parti komponennya untuk membangkitkan apa juga tidak rasa tidak puashati mereka untuk dibincang dan diputuskan.

Dengan itu, katanya, tidaklah timbul sebarang isu berbangkit sepertimana yang cuba dilakukan oleh laman web rasmi MCA yang cuba mengaitkan isu dua Adunnya di Pulau Pinang dengan isu Adun Umno berhubung hukum hudud di Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun, Muhd Taib tidak menolak kemungkinan isu penggantungan keahlian Adun MCA itu dan juga isu penggunaaan bahasa Inggeris untuk matapelajaran Sains dan Matematik, boleh menjejaskan sokongan pengundi Cina terhadap BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Namun begitu, katanya, sokongan pengundi Melayu telah kembali kukuh kepada Umno berbanding dalam pilihanraya umum lalu "dan ini akan mengimbangi sokongan pengundi kepada BN".

Pembelajaran semula

"Berikutan masalah dalaman Umno sewaktu pilihanraya umum 1999, pengundi Cina banyak membantu BN terutama di Selangor. Bagaimanapun pada 2002, senario itu sudah berubah apabila orang Melayu kembali semula menyokong Umno," tegasnya.

Hakikatnya, kata Muhd Taib, sebagaimana Umno memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu, pemimpin mereka dalam BN juga memerlukan sokongan pengundi Melayu untuk mencapai kemenangan.

"Jika diperhatikan, hingga ke hari ini, pemimpin parti-parti utama bukan Melayu dalam BN masih bertanding di kawasan pilihanraya yang mempunyai ramai pengundi Melayu," tegasnya.

Muhd Taib bagaimanapun, menyifatkan semua itu sebagai satu 'proses pembelajaran semula' bagi semua parti-parti komponen BN, terutama di kalangan pemimpin muda masing-masing bagi memahami sensitiviti setiap pihak terbabit.

"Bagi sebuah badan politik yang mempunyai 14 parti komponen, sudah tentu adakalanya berlaku pergeseran sesama sendiri. Bagaimanapun, selama ini, BN berjaya menyelesaikan setiap masalah yang timbul melalui tolakansur politik yang diamalkannya selama ini," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan 'pergeseran' di antara MCA dan Gerakan di Pulau Pinang sebagai suatu 'isu tersisih' yang berlaku di Pulau Pinang.

Ditanya mengenai tarikh terbaik bagi BN mengadakan pilihanraya umum akan datang, Muhd Taib berkata, kerajaan mempunyai masa sehingga November 2004 untuk mengadakannya.