Sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) telah menggabung tenaga untuk mewujudkan jawatankuasa "Gerakan Bertindak Umat Islam Selamatkan Sekolah Agama Rakyat" atau Gegar untuk membela nasib sekolah agama rakyat (SAR) yang akan diserapkan ke sekolah kebangsaan.

Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Gegar bercadang menggerakkan satu kempen besar-besaran dan bersepadu di seluruh negara untuk memastikan sekolah agama rakyat terpelihara sebagai institusi pendidikan Islam nasional yang berlandaskan pendidikan perdana.

Melalui kempen itu, katanya, Gegar akan mendesak kerajaan supaya menarik balik keputusannya untuk memberhentikan bantuan perkapita kepada SAR dan membatalkan rancangan menyerap pelajar SAR ke sekolah kebangsaan.

"Kami akan meminta kerajaan supaya memberi keperluan kepada berhak untuk mempertingkatkan kualiti prasarana dan pembelajaran SAR sepertimana bantuan yang telah diberikan kepada sekolah kebangssaan," kata Mohd Azmi dalam satu kenyataan hari ini.

Gegar juga mahu menggalakkan semua masyarakat untuk bersama-sama membantu SAR, termasuk kewangan, fikiran, tenaga dan seterusnya mempertingkat kualiti pentadbiran dan guru SAR ke arah pembelajaran pelajar yang lebih baik dan cemerlang.

Mohd Azmi yang juga presiden Terus Pengupayaan Melayu (Teras) berkata Gegar memerlukan sokongan seluruh masyarakat bagi menjamin kejayaan kempen yang akan diadakan demi masa depan lebih 300,000 pelajar SAR yang perlu dibela dan dibantu.

Oleh itu, katanya, Gegar mengalu-alukan individu ataupun pertubuhan yang prihatin dengan usaha untuk menyelamatkan SAR.

Masih mengkaji

Sehingga ini, 10 NGO terbabit dalam kempen Gegar, iaitu Teras, Persatuan Ulama Malaysia Perak dan Pulau Pinang, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Persatuan Pendokong SAR Perak, Majlis Pengetua Sekolah Agama Perak, Persatuan Ulama Kedah, Institut Masyarakat Madani, Persatuan Siswazah Syariah Malaysia, dan Majlis Persidangan Mahasiswa Islam Malaysia.

Jumaat lalu PAS juga telah melancarkan kempen selamatkan SAR peringkat negeri Kedah dengan menyebarkan risalah tentang SAR, sumbangan dan pencapaiannya.

Pada 25 Okt lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa kerajaan akan menghentikan memberi bantuan perkapita kepada SAR kerana mendakwa ada antara sekolah terbabit telah dipergunakan untuk tujuan politik.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan mengambil keputusan itu untuk memastikan SAR benar-benar mengajar pelajaran agama dan bantuan kewangan itu akan diteruskan kepada sekolah yang bebas daripada politik.

Dr Mahathir yang juga Presiden Umno, berkata beliau diberitahu tentang pelajar SAR yang telah meminta ibubapa mereka menurunkan gambar seorang pemimpin yang dikatakan sebagai "Firaun".

Berikutan itu, pada 25 Nov lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Aziz Shamsuddin berkata bantuan perkapita hanya akan disambung setelah semua SAR disiasat untuk memastikan ianya bersih daripada pengaruh politik.

Baru-baru ini Menteri pendidikan Tan Sri Musa Mohamad berkata semua SAR akan diserapkan ke sekolah kebangsaan untuk meningkat mutu pendidikan generasi muda negara ini.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memutuskan bila penyerapan ini akan dibuat kerana jawatankuasa yang terlibat masih membuat kajian mengenainya.