Kerajaan pusat sepatutnya merujuk kepada Majlis Raja-Raja sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan sekolah agama rakyat (SAR), kata Mufti Terengganu, Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir.

Katanya, Sultan dan Raja mempunyai hak ke atas perkara yang berkaitan dengan sekolah agama rakyat kerana ianya didaftar dan diawasi oleh Majlis Agama Negeri yang diketuai Sultan dan Raja negeri masing-masing.

"Sistem perundangan Malaysia memperuntukkan bahawa hal-hal agama terletak di bawah bidang kuasa Sultan dan Raja. Maknanya semua hal-hal agama, termasuk sekolah agama, adalah di bawah bidangkuasa Sultan. Ini adalah jelas," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Beliau berpendapat kerajaan pusat sepatutnya meminta pendapat Majlis Raja-Raja sebelum membuat keputusan untuk menyerap SAR ke sekolah kebangsaan.

Apabila ditanya apakah pihak kerajaan pernah merujuk perkara berkenaan kepada Sultan Terengganu, Abdul Halim berkata sepanjang pengetahuannya, tiada rujukan dibuat kepada baginda Sultan berhubung isu SAR.

"Secara umumnya, tiada perbincangan dibuat dengan baginda Sultan tentang SAR. Tak taulah jika Sultan-Sultan ada bermesyuarat tentang hal ini secara sulit. Setahu saya tidak ada," katanya.

Bidangkuasa Raja-raja

Seorang pegawai tinggi agama negeri Johor yang tidak mahu namanya disebut, juga mengesahkan bahawa tiada rujukan dibuat kepada Sultan Johor mengenai isu SAR sebelum ini.

"Setakat ini, saya tidak lagi mendengar mengenai sebarang rujukan dibuat kepada Sultan," katanya.

Sehubungan itu, pengerusi Gerakan Bertindak Umat Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (Gegar) Mohd Azmi Abdul Hamid kesal di atas kegagalan kerajaan pusat untuk merujuk kepada Majlis Raja Raja berhubung isu SAR.

"Tiada seorang Raja dan Sultan pun dirujuk oleh kerajaan ketika membuat keputusan untuk menyerapkan SAR kepada sekolah kebangsaan, sedangkan baginda lebih berhak menentukan nasib SAR.

"Rakyat perlu diberitahu bahawa keputusan dibuat tanpa sebarang rundingan. Bukan sahaja tiada rundingan dengan pengetua atau pentadbir SAR, malah lebih teruk lagi, mereka juga mengenepikan ketua agama negeri dan terus membuat keputusan tanpa mengambil pandangan pihak-pihak yang berhak memberi pendapat mereka," katanya kepada malaysiakini .

Menyedari hakikat ini, Mohd Azmi berkata Gegar akan menghantar satu memorandum berhubung penutupan SAR kepada Majlis Raja-Raja dan akan mengemukakan permohonan untuk mengadakan pertemuan dengan majlis berkenaan.

Sentimen rakyat

Menurutnya, pertemuan itu penting bagi memboleh Raja-raja diberi maklumat tepat dan menyuarakan sentimen rakyat yang kesal dengan cadangan menyerap SAR ke sekolah kebangsaan.

"Memorandum yang sama juga akan dihantar kepada kerajaan dan seterusnya disebar kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan," katanya.

Beliau berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha Gegar untuk mengerakkan kempen bersepadu di seluruh negara bagi memastikan SAR tetap terpelihara sebagai institusi pendikan Islam nasional yang berlandaskan pendidikan perdana.

"Kami sedar kerajaan boleh berkeras dan meneruskan keputusan mereka. Tapi kami mahu membuat kenyataan rasmi yang rakyat tidak bersetuju dengan keputusan itu. Kami mahu mengembleng suara rakyat bagi menunjukkan kepada kerajaan betapa seriusnya perkara ini kepada umat Islam di Malaysia," katanya.

Beliau menganggap keputusan kerajaan untuk menyerapkan SAR ke sekolah kebangsaan, seolah-olah memaksa rakyat menerima sistem pendidikan tunggal.

"Kerajaan tidak boleh memaksa rakyat menerima sistem pendidikan tunggal. Kerajaan boleh menggubal satu prinsip umum yang boleh menyokong sistem sedia ada, tetapi rakyat patut diberi peluang untuk memilih sistem pendidikan yang bersesuaian," katanya.

Bersikap pilih kasih

Menurut Mohd Azmi, keputusan kerajaan itu juga menunjukkan sikap 'pilih kasih' kerajaan BN, sedangkan sekolah vernakular seperti sekolah Cina dan Tamil dibenar meneruskan sistem pendidikan mereka.

"Mengapa SAR sahaja yang diserapkan ke sekolah kebangsaan. Jika sistem vernakular yang lain boleh beroperasi, mengapa tidak SAR," katanya.

Oleh itu, katanya lagi, tidak hairan mengapa masyarakat menyoal ketulusan kerajaan yang acapkali mendakwa mereka sangat mengambilberat mengenai pendidikan Islam.

Apabila ditanya mengenai alasan tindakan kerajaan bagi menghapuskan pengaruh PAS yang dikatakan menerima sokongan kuat dari pihak pentadbir SAR, Mohd Azmi berkata, tiada yang boleh membuktikan ada unsur politik PAS di SAR.

"Adalah tidak wajar kalau dikatakan SAR hanya menyokong PAS kerana terdapat juga sekolah di mana Umno terlibat secara langsung dengan pentadbirannya. Jika ada sebarang bukti yang menunjukkan ada unsur politik, maka kerajaan perlu menanganinya secara profesional dan ilmiah," tambahnya.