BERITA

Polis rampas pil khayal RM15j di Ipoh

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Ogs 2010, 7:59 pagi

Polis merampas lebih sejuta pil khayal Eramin 5 bernilai RM15.2 juta dalam serbuan disebuah gudang di Ipoh semalam, hasil susulan daripada terbongkarnya kegiatan sebuah sindiket pengedaran dadah antarabangsa di Ayer Hitam, Johor, minggu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Zul Hasnan Najib Baharuddin berkata sebanyak 1,015,500 biji dadah itu dijumpai dalam gudang sebuah syarikat pengangkutan yang terletak di Jalan Kuala Kangsar di Ipoh.

Beliau berkata dadah berkenaan tersorok dalam 58 gulungan kain dengan setiap gulungan mengandungi tiga bungkusan pil itu.

"Ini adalah rampasan terbesar pil Eramin 5 di negara tahun ini," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Zul Hasnan berkata penemuan berkenaan adalah hasil tangkapan 17 anggota sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga asing di Ayer Hitam pada 12 Ogos lepas.

Dalam tangkapan berkenaan, mereka yang ditahan berusia antara 28 dan 74 tahun terdiri daripada sembilan rakyat tempatan, empat warga Taiwan, tiga warga Singapura dan seorang warga Indonesia. Tiga daripada mereka adalah wanita iaitu dua warga Taiwan dan seorang wanita tempatan.

Katanya sindiket berkenaan tertumpas hasil risikan selama lebih setahun oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman yang mendapat kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Dadah Taiwan.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti anggota sindiket yang lain dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof berkata negeri ini bukan menjadi pusat pengedaran dadah, sebaliknya hanya dijadikan transit untuk aktiviti jenayah itu.

Sindiket itu merupakan sindiket antarabangsa dan dipercayai dadah tersebut untuk pasaran tempatan dan juga ke negara jiran.

Zul Hasnan berkata hasil rampasan berkenaan, pengaliran hampir 2 juta pil Eramin 5 telah berjaya disekat.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik juga telah menyita RM4.2 juta nilai harta sindiket berkenaan termasuk beberapa buah kereta dan mata wang asing.

Dalam serbuan di sebuah stor pakaian di Ayer Hitam pada 12 Ogos lepas, polis menemui 529,500 biji pil Eramin 5 disembunyikan dalam empat patung peragaan pakaian dan ekoran penemuan itu, polis menyerbu dua buah rumah di Johor Baharu dan merampas 295,000 biji pil Eramin 5, 15 kilogram ketamin dan 890 biji pil 'dormicum'.

Sementara itu Zul Hasnan enggan mengulas sama ada sindiket itu beroperasi di bawah syarikat berasaskan perniagaan tekstil untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.