Menteri Besar Perlis Datuk Shahidan Kassim dan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dinasihatkan supaya berhenti 'berbalah' tetapi sebaliknya berusaha untuk memastikan undang-undang poligami itu memberi keadilan kepada semua pihak terbabit.

"Shahrizat juga patut ingat, isteri kedua, ketiga dan keempat semuanya adalah wanita yang ingin dibela oleh kementerian beliau sendiri," kata ahli jawatankuasa pusat PAS, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali ketika diminta mengulaskan langkah kerajaan Perlis melonggar peraturan berpoligami di negeri itu.

"Pada saya bertelagah mengenai soal poligami adalah membuang masa kerana dalam Islam, poligami dihalalkan. Cuma, dalam pelaksanaannya, kita sebagai manusia perlu menentukan peraturan supaya pelaksanaannya memberi keadilan kepada semua pihak terbabit," tambahnya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan bahawa kerajaan Perlis menjemput lelaki yang ingin berpoligami bernikah di Perlis kerana syarat-syaratnya lebih longgar, termasuk tidak perlu mendapatkan izin isteri pertama.

Laporan dalam Berita Harian itu memetik Mufti Perlis, Datuk Mat Jahaya Husin sebagai berkata, Majlis Agama Islam Perlis melonggarkan syarat berpoligami bagi menyekat lelaki di negeri itu pergi ke Thailand untuk berkahwin lebih.

Berikutan itu, Shahrizat menyifatkan undangan untuk berpoligami di Perlis bukan satu penyelesaian bijak bagi mengatasi masalah perkahwinan sorok atau pernikahan di luar daerah.

Hukum Syarak

Bagaimanapun, Shahidan mempertahankan langkah itu dengan menegaskan bahawa ia selaras dengan kempen 'utamakan keluarga, semakin hari semakin sayang,' anjuran kementerian Shahrizat sendiri.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri itu mahu rakyat mengutamakan keluarga tetapi tidak membantah hukum Syarak termasuk hak berpoligami.

Mengulas lanjut mengenainya, Dr Lo' Lo' berkata, tujuan kerajaan Perlis melonggarkan peraturan berpoligami itu adalah untuk mengelak berlakunya kes orang berkahwin di kawasan sempadan.

"Kalau kita hendak bertelagah, biarlah mengenai perkara yang haram...poligami dihalalkan dalam Islam. Oleh itu, lebih baik kita berusaha untuk memantapkan lagi peraturan untuk berpoligami supaya adil kepada semua pihak berkenaan.

"Ia bukan bertujuan untuk memenangkan pihak lelaki kerana mereka juga mesti bertanggungjawab. Kadang-kadang penguatkuasaan undang-undang tidak mencukupi, sebaliknya kaum lelaki ini perlu dididik melalui tarbiah dan sebagainya," tegasnya.

Sehubungan itu, Dr Lo' Lo' mencadangkan supaya Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin (Zam) mengambil initiatif untuk menyiarkan program di RTM yang boleh mendidik rakyat ke arah itu.

"Lebih baik Zam menukar fikrahnya supaya menayangkan di RTM program yang berbentuk mendidik rakyat, dan bukannya memperbodohkan rakyat," tambahnya.