BERITA

Kediaman duta besar M'sia pula diancam

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Ogs 2010, 10:37 pagi

Setelah melempar najis manusia ke dalam kawasan kedutaan besar Malaysia di Jakarta Isnin lalu, kumpulan penunjuk perasaan yang sama mengugut untuk berbuat demikian di kediaman duta besar Malaysia pula.

NONE Kali ini, penunjuk perasaan dari kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) itu dilaporkan akan disertai kumpulan gabungannya yang menamakan diri sebagai Pemuda Pemudi Anti Malaysia.

Sementara itu, 25 penunjuk perasaan BENDERA merancang berdemonstrasi di hadapan Bank CIMB Niaga petang ini dan mengulangi aksi sama di pejabat Petronas kemudian.

Polis Indonesia yang mendapat maklumat mengenai rancangan demonstrasi haramdi hadapan kediaman duta besar Malaysia di Patra Kuningan, bertindak mengetatkan kawalan dengan menempatkan lebih 200 anggota di sekeliling rumah tersebut sejak 9.30 pagi tadi.

Sejak malam semalam, polis Indonesia telah menempatkan anggotanya bagi menjaga keselamatan di kawasan kediaman duta besar Malaysia itu.

Pada masa yang sama, polis Indonesia turut menempatkan ramai anggotanya di hadapan kedutaan besar Malaysia di Kuningan, sebagai persediaan menghadapi kumpulan sama, yang dilaporkan turut merancang mengadakan sekali lagi demonstrasi di situ.

Kedutaan besar Malaysia menghargai langkah yang diambil polis Indonesia dalam menjaga keselamatan di kawasan kediaman duta besar dan bangunan kedutaan.

Lima bungkus najis

Setakat 3.30 petang waktu Indonesia Barat, demonstrasi di hadapan kediaman duta besar Malaysia dan kedutaan besar Malaysia belum diadakan.

NONE Isnin lalu, 37 anggota BENDERA berdemonstrasi di hadapan bangunan kedutaan berkenaan dan membawa lima bungkus najis manusia sebagai "hadiah" kepada Malaysia, yang didakwa telah mencemarkan maruah Indonesia dengan cara lebih kotor daripada itu.

Seorang daripada mereka sempat melempar bungkusan najis ke dalam pintu pagar kedutaan besar Malaysia manakala yang lain bertindak melepaskan kotoran itu ke atas Jalur Gemilang yang mereka pijak di atas jalan raya.

Mereka melepaskan kemarahan terhadap Malaysia berikutan insiden di perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Bintan, Kepulauan Riau pada 13 Ogos yang menyaksikan bahagian penguatkuasa kementerian kelautan dan perikanan Indonesia menahan tujuh nelayan Malaysia, sementara polis marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian Indonesia itu.

Kedua-dua pihak mendakwa melakukan penahanan itu kerana pencerobohan dalam wilayah masing-masing.

' Sweeping' rakyat Malaysia

Berikutan  kejadian lempar najis itu, polis Indonesia menahan empat anggota BENDERA, tetapi membebaskan mereka beberapa jam kemudian atas alasan mereka belum melakukan perbuatan berkenaan.

Seorang pegawai di kedutaan besar Malaysia yang dihubungi pada hari berkenaan, telah mengesahkan bahawa najis yang dibungkus dalam kertas pembalut makanan berwarna coklat itu, telah dilempar masuk ke kawasan kedutaan.

Pada hari yang sama, sebelum bersurai, kumpulan BENDERA telah memberi kata dua kepada polis Indonesia supaya melepaskan anggota mereka yang ditahan, atau mereka akan bertindak mengusir rakyat Malaysia, yang dinamakan sebagai "Sweeping Rakyat Malaysia".

NONE Polis Indonesia turut mendapat maklumat mengenai rancangan kumpulan BENDERA untuk mengusir rakyat Malaysia yang berada di Jakarta hari ini, dan wartawan Malaysia telah dinasihatkan agar tidak menghampiri kumpulan penunjuk perasaan itu bagi mengelakkan tindakan "sweeping" dilakukan.

Berikutan itu, semua pelajar Malaysia di Jakarta dinasihatkan supaya tidak melalui kawasan Jalan Diponegoro, Menteng, Jakarta bagi mengelak tindakan "sweeping" oleh anggota Bendera.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Indonesia Datuk Junaidy Abu Bakar juga menasihatkan pelajar supaya keluar rumah secara berkumpulan, dan segera menghubungi beliau atau pemimpin pelajar jika diancam mana-mana pihak.

"Saya minta seluruh mahasiswa Malaysia agar menghindari dan menjauhi kawasan Menteng, khususnya Jalan Diponegoro.

"Kawasan tersebut telah dikenal pasti antara kawasan yang akan dilakukan sweeping rakyat Malaysia oleh kumpulan BENDERA," katanya.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.