Pemantau penjalanan pemilihan PKR Mydemocracy Watch menerima aduan berhubung dakwaan terdapat cubaan menjual nama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Wan Azizah Ismail oleh bakal calon.
"Kita terima aduan terdapat pihak yang menggunakan perkataan bahawa beliau direstui Anwar dan Wan Azizah. Kita tidak mahu perkara ini berlaku," kata penyelaras badan sukarela itu Yusmadi Yusoff ( kanan ).
Beliau yang juga ahli parlimen Balik Pulau berkata, ia antara empat aduan yang diterima bagi mempengaruhi keputusan pemilihan PKR di pelbagai peringkat pada November ini.
"Tetapi kita dapat tahu, Anwar sendiri tidak pernah secara rasmi menunjukkan beliau menaja atau merestui sesiapa," katanya.
Menjelang pemilihan PKR, cakap-cakap terdapat calon yang 'direstui' Anwar mula menular dalam parti itu, terutamanya dalam persaingan merebut jawatan nombor satu dalam sayap kanannya.
Pemilihan dalam Pemuda PKR (AMK) dijangka melibatkan pertembungan empat penjuru antara anggota majlis pimpinan pusat (MPP) Badrul Hisham Shaharin dan Mohd Rafizi Ramli, penyandang ketua Shamsul Iskandar Md Akin serta pemimpin cabang Hasmi Hashim.
Pendekatan proaktif, reaktif
Dalam kehangatan itu, Mohd Rafizi yang juga ketua eksekutif di pejabat penasihat ekonomi Selangor disebut-sebut mendapat 'restu' Anwar.
Manakala calon underdog Hasmi - salah seorang penulis ucapan Wan Azizah - pula dikatakan sedang cuba mendapatkan persetujuan presiden PKR itu sebelum mengumumkan kesediannya bertanding.
Kedua-kedua mereka bagaimapun ketika dihubungi Malaysiakini menafikan perkara itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Yusmadi menjelaskan walaupun bakal-bakal calon ke jawatan tertentu masih mengumumkan kesediaan mereka bertanding, Mydemocracy Watch tetap mengambil pendekatan proaktif dan reaktif bagi menangani kebimbangan dalam parti.
"Walaupun ia masih di peringkat cakap-cakap di kedai kopi, implikasinya tetap sama. (Ia) menyebabkan imej parti tercemar," katanya yang juga exco AMK.
Baling kerusi
Sementara itu, Yusmadi juga memberitahu, pihaknya juga menerima beberapa lagi aduan menjelang pemilihan PKR, antaranya:
- Terdapat sebuah program latihan kerajaan Selangor digunakan bagi tujuan berkempen terhadap pemimpin tertentu.
- Terdapat anggota MPP menaja calon-calon dalam pemilihan peringkat cabang di Pahang.
- Berlaku insiden baling kerusi semasa proses pencalonan di sebuah cabang di Perlis.
"Kita tak perlu turut baling kerusi macam di Taiwan, tak perlu pihak autokratik taja orang tertentu, tak perlu pelobi tidak beretika wujud macam di Amerika Syarikat.
"Kita patut beri ruang kepada demokrasi," katanya.
Mydemocracy Watch
merupakan badan pemantau urustadbir pemilihan PKR, terutama yang melibatkan amalan penyalahgunaan kuasa dan sumber kerajaan dan amalan-amalan yang tidak demokratik seperti kronisme, rasuah dan nepotisme.Badan itu berjanji akan membela golongan yang dinafikan hak demokrasi semasa pemilihan partinya tanpa menyebelahi mana-mana kelompok berkepentingan.