Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kudus bebas, mahkamah ketepi hukuman penjara
Diterbitkan:  Sep 2, 2010 3:51 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan dan membebaskan bekas pengarah penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapt (B) Abdul Kudus Ahmad setelah mengetepikan hukuman penjara 11 tahun 10 bulan dan denda RM370,000 ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen Ampang berhubung tuduhan rasuah lapan tahun lalu.

    

NONE Hakim Mohd Yazid Mustafa semasa menerima rayuan Abdul Kudus ( kiri ) berkata, pihak pendakwaan terlalu bergantung kepada keterangan pemilik restoran Sri Steven's Corner yang Abdul Kudus didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah RM59,000.

    

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata setelah meneliti keterangan saksi utama kes berkenaan, mahkamah mendapati saksi berkenaan bukanlah seorang saksi yang boleh dipercayai kerana beliau mempunyai kepentingan secara langsung dalam kes itu.

    

"Saya merumuskan bahawa sebenarnya SP4 (Steven) adalah pihak yang memulakan percubaan untuk merasuah tertuduh sebagai pengarah MPAJ dan bukan sebaliknya.

    

"Saya mendapati SP4 adalah rakan sejenayah tertuduh kerana beliau telah terlibat secara aktif dan langsung dalam kesemua 24 transaksi yang melibatkan tertuduh," katanya.

    

Abdul Kudus, 47, didakwa meminta dan menerima rasuah itu daripada pemilik Restoran Sri Steven's Corner antara Mei 2001 dan Mei 2004.

    

Pada 30 Jun tahun lalu, Abdul Kudus dipenjara selama enam bulan bagi 16 pertuduhan, 12 bulan (tujuh pertuduhan) dan 24 bulan bagi satu pertuduhan. Kesemua hukuman diperintah berjalan secara berasingan.

    

Mohd Yazid berkata bahawa hakim Mahkamah Sesyen telah gagal untuk membuat penilaian yang maksimum di peringkat kes pendakwaan.

    

"Tertuduh tidak seharusnya dipanggil untuk membela diri," kata beliau.

Hakim berkata beliau menerima rayuan Abdul Kudus bahawa beliau tidak meminta wang rasuah berkenaan daripada Steven dan tidak pernah berjumpa dengan pemilik restoran berkenaan.

    

Mohd Yazid berkata pihak pendakwaan juga gagal membuktikan dakwaan tentang perjumpaan, permintaan dan penerimaan wang rasuah yang melibatkan tertuduh.

Beliau juga menjelaskan bahawa keterangan seorang pegawai dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ravi Chandran seharusnya menyokong keterangan Steven.

    

"SP10 (Ravi) tidak dapat memberikan keterangan positif sama ada terdapat apa-apa permintaan wang rasuah dan oleh itu keterangan SP10 (Ravi) tidak mempunyai sebarang nilai sebagai keterangan sokongan.

    

"Oleh itu saya mendapati bahawa perjumpaan pada 9 Julai, 2002 dan permintaan wang rasuah oleh tertuduh tidak wujud dan hanya rekaan SP4 (Steven)," kata beliau.

    

Kes perbicaraan yang mengambil masa hampir enam tahun bermula 9 Ogos 2003 itu melibatkan 11 orang saksi pendakwaan dan 12 orang saksi pembelaan. Antara yang memberi keterangan ialah bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M. Kayveas.

    

Di luar mahkamah, Abdul Kudus berkata sejak awal lagi beliau mempunyai keyakinan akan dibebaskan.

    

"Saya dihukum kerana menjalankan tugas yang diamanahkan kepada saya," jelas beliau yang hanya ditemani oleh kakaknya ke mahkamah hari ini.

    

Katanya beliau akan menziarahi pusara ibunya di Sg Mati, Muar yang meninggal dunia semasa perbicaraan kesnya masih berlangsung.

    

Abdul Kudus turut mengucapkan terima kasih kepada peguamnya M. Manoharan, walaupun ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) ketika perbicraan telah bersama beliau dalam memastikan rayuannya diterima.

    

Turut membantu Manoharan hari ini ialah peguam Afifuddin Hafifi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Fariza Hamzah.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS