BERITA Malaysiakini

Perbezaan kulit: Dua diserang di ambang merdeka

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Dua sahabat yang keluar untuk menyaksikan persembahan bunga api pada ambang merdeka di KLCC diserang oleh sekumpulan remaja dekat Jalan Pinang, di Kuala Lumpur.

Pada kejadian jam 10.15 malam itu, Lau Chee Kin, 27 dan seorang sahabatnya sedang berjalan ke arah KLCC dari pejabat mereka di Jalan Imbi apabila secara tiba-tiba diserang oleh kumpulan remaja yang berlainan bangsa itu.

Seorang daripada penyerang itu juga turut melemparkan kata-kata berbaur perkaumanan terhadap dua mangsa tersebut.

Dalam nota yang dipaparkan dalam laman sosial Facebooknya, Lau, seorang pengurus operasi dalam firma teknologi maklumat, berkata mereka kemudian bergegas ke pondok polis di kompleks membeli-belah, Pavilion, tetapi mendakwa pegawai polis yang bertugas di situ enggan menerima aduan mereka.

Lau mendakwa mereka diberitahu bahawa mereka hanya boleh membuat laporan di pondok polis di hospital selepas mendapat rawatan.

Kedua-dua mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada hari berikutnya.

Lau berkata beliau tidak menagih simpati atas paparan nota dalam Facebooknya tetapi ingin berkongsi insiden itu kerana sesiapa sahaja boleh mengalami nasib yang sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, yang mengesahkan menerima laporan itu, berkata polis akan meneliti dakwaan Lau itu.

Lembaga Disiplin jabatan telah memulakan siasatan dalaman dan jika ia merupakan kes salah laku pegawai maka tindakan tegas akan diambil, katanya.

Ku berkata pada malam kejadian, polis juga menerima tujuh laporan sama dan kecurian di kawasan berkenaan.

 

"Satu pergaduhan tercetus di Jalan Raja Chulan, membabitkan kira-kira 30 remaja berusia antara 15 dan 19 tahun dari Selayang dan Sentul pada malam yang sama.

Tiga daripada mereka dimasukkan ke hospital selepas mengalami kecederaan parah manakala tujuh lagi ditahan untuk membantu siasatan.

Polis turut merampas beberapa senjata daripada suspek yang ditahan.

Adalah difahamkan bahawa polis menyiasat sama ada kumpulan remaja itu adalah kumpulan yang sama menyerang Lau dan rakannya sebelum itu di Jalan Pinang.

- Bernama