Polis menyerbu pejabat Malaysiakini

comments     Published     Updated

POLIS MENYERBU PEJABAT MALAYSIAKINI

SATU LAGI PUKULAN TERHADAP KEBEBASAN AKHBAR

Dalam reaksinya kepada laporan polis yang dibuat oleh Pemuda Umno Jumaat lalu, sepasukan anggota polis dari balai Dang Wangi telah menyerbu pejabat malaysiakini di Bangsar Utama tengah hari tadi dan merampas 15 CPUs (unit proses pusat) dan empat buah server bernilai RM150,000 untuk "pemeriksaan forensik".

Rampasan itu mengakibatkan operasi malaysiakini terhenti sehinggalah peralatan itu dipulangkan kelak. Bagaimanapun, langkah-langkah segera sedang dilakukan untuk membolehkan operasinya diteruskan dalam tempoh 24 jam lagi.

Sepasukan 10 anggota polis yang diketuai Penguasa Mohd Kamaruddin Md Din, ketua unit jenayah komputer Bukit Aman yang muncul di pejabat malaysiakini kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Beberapa pegawai kanan polis terbabit telah mengadakan perbincangan selama 90 minit dengan ketua pengarang malaysiakini Steven Gan dan ketua pegawai eksekutifnya Premesh Chandran sebelum bertindak merampas peralatan komputer berkenaan.

Mereka mengambil masa empat jam untuk merekodkan butir-butir mengenai kakitangan malaysiakini dan komputer di bilik editorial, serta menyediakan senarai barangan yang dirampas.

Mereka berkata, pasukan itu sedang menjalankan siasatan berhubung laporan Pemuda Umno yang mendakwa sepucuk surat pembaca yang disiarkan di laman web itu mengandungi "tuduhan-tuduhan palsu". Surat itu disiarkan pada 9 Jan lalu.

Penasihat undang-undang malaysiakini R Sivarasa berusaha memujuk pasukan polis itu supaya tidak mengambil unit-unit komputer yang tidak diperlukan dalam siasatan itu, dengan memberi jaminan bertulis bahawa tiada sebarang kandungan dalam unit-unit server terbabit, akan dipinda atau dipadamkan.

Bagaimanapun, Kamaruddin menolak cadangan itu dan beliau juga enggan membenarkan kakitangan malaysiakini membuat salinan atau mencetak fail-fail dokumen dalam komputer terbabit.

Dalam sidang akhbar selepas serbuan itu, Gan menyifatkan tindakan polis itu sebagai satu alasan untuk menutup operasi malaysiakini . Beliau juga menegaskan surat itu tidak berbentuk hasutan tetapi hanya "satu kajian perbandingan yang berasaskan kepada fakta-fakta".

"Ikrar kerajaan untuk tidak menyunting kandungan Internet kini hancur berkecai," katanya.

"Ini merupakan satu cubaan yang berniat jahat pihak berkuasa untuk menutup laman web ini kerana pasukan polis terbabit berkeras untuk merampas komputer-komputer yang tidak ada kaitan langsung dengan siasatan mereka."

Dalam laporan polisnya, Pemuda Umno mendakwa surat berkenaan telah mempersoalkan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan juga mendakwa ianya turut mengandungi tuduhan-tuduhan palsu bahawa kerajaan tidak bersikap adil kepada bangsa-bangsa lain.

Akhbar The New Straits Times memetik ketua penerangan pergerakan itu, Azimi Daim memberitahu satu sidang akhbar Jumaat lalu bahawa surat berkenaan juga menuduh kerajaan mengabaikan kepentingan masyarakat Orang Asli.

Di samping itu, Azimi mendakwa, surat itu juga menyamakan Pemuda Umno dengan kumpulan Ku Klux Klan di Amerika.

Azimi berkata, malaysiakini sepatutnya menyunting surat itu serta menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya bertindak terhadap laman web berkenaan.

Menurutnya lagi, pergerakan itu tidak bercadang untuk mengulas kandungan surat itu.

Malaysiakini , yang ditubuhkan pada 1999, adalah satu-satunya media online bebas di Malaysia. Tidak tidak seperti media cetak dan elektronik, ianya tidak memerlukan lesen operasi kerana kerajaan telah berikrar tidak akan mengawal kandungan internet selaras dengan penubuhan Koridor Multimedia, sepertimana di Lembah Silicon.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Malaysiakini: (603) 2283 5567 (waktu pejabat)

Steven Gan: 012-2482 328

www.malaysiakini.com

20 Jan 2003



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In