Serbuan polis menunjukkan sikap tidak toleran kerajaan

comments     Nash Rahman     Published     Updated

Tindakan polis menyerbu dan merampas peralatan komputer akhbar Internet malaysiakini semalam telah menghantar mesej kepada dunia yang Malaysia tidak toleran dengan pandangan yang pelbagai, kata presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Ahmad Azam Abdul Rahman.

"Ini pasti boleh menjejaskan imej Malaysia yang dikenali sebagai sebuah negara yang pelbagai agama dan bangsa yang toleran dan terbuka," katanya sebagai mengulas tindakan polis menyerbu pejabat malaysiakini semalam dan merampas 19 unit komputer.

Serbuan itu dibuat berikutan laporan Pemuda Umno yang mendakwa surat pembaca yang disiarkan dalam laman web itu telah mempersoalkan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan juga mendakwa ianya turut mengandungi tuduhan-tuduhan palsu bahawa kerajaan tidak bersikap adil kepada bangsa-bangsa lain.

Di samping itu, Pemuda Umno juga mendakwa, surat itu turut menyamakan pergerakan tersebut dengan kumpulan Ku Klux Klan di Amerika.

Mengulas lanjut mengenainya, Azam berkata dunia pasti akan melihat tindakan polis itu sebagai satu mesej yang menggambar Malaysia yang tidak toleran dan Malaysia yang tidak menerima hakikat pelbagai pandangan dan pendapat.

Pada masa yang sama, tegas Azam, Abim juga merasa tidak senang dengan sebarang bentuk pandangan yang menimbulkan kebencian, khususnya terhadap dasar-dasar kerajaan yang dianggap sebagai anti bangsa lain sedangkan hakikatkan tidak begitu.

Tindakan polis

Oleh itu, katanya, sentimen kebencian antara kaum harus dielakkan oleh semua pihak, termasuk pihak pembangkang dan pemerintah, ketika mengutarakan apa juga pandangan dalam kontak pembangunan negara.

"Dalam hal ini, kita merasa tindakan polis itu telah menghantar mesej yang salah kepada dunia, dan pada masa yang sama, kita ingin menegur rakyat Malaysia supaya memberi pandangan yang bernas tanpa menimbulkan sebarang kebencian agama dan bangsa lain," katanya.

Sementara itu, parti Keadilan membantah keras tindakan polis yang dianggapnya bertindak secara keterlaluan terhadap malaysiakini .

Setiausahanya, Sahri Bahri berkata, malaysiakini merupakan antara perintis kepada e-media di negara ini yang turut memberi sumbangan besar kepada perkembangan media elektronik dan siber.

"Tindakan begitu tidak sepatutnya dilakukan terhadap malaysiakini , dan ianya juga memberi isyarat kepada peneroka dan pengendali e-media lain bahawa kita tidak mengamalkan kebebasan akhbar," katanya.

Beliau menyifatkan tindakan polis merampas peralatan komputer di malaysiakini sebagai tindakan keterlaluan.

Berat sebelah

"Sepatutnya perkara ini boleh disiasat dengan lebih tertib...jadi kita memang melihat bahawa ia merupakan tindakan 'double standard' polis kerana tiada tindakan diambil terhadap laporan-laporan polis yang dibuat sebelum ini, termasuk terhadap naib ketua Pemuda Umno, Aziz Sheikh Fadzir, yang mengugut membakar dewan perhimpunan Cina Selangor.

"Walhal, dalam isu malaysiakini , mereka begitu cekap dan pantas, seolah-olah wujud campurtangan eksekutif dan tangan-tangan di belakang yang cuba mengganggu dan menekan media yang lebih terbuka," tegasnya.

Pemuda Umno pula, kata beliau, sepatutnya lebih memberi tumpuan kepada isu-isu yang lebih besar yang membabitkan kepentingan rakyat, seperti isu sekolah agama rakyat (SAR) dan isu pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Semakin terhakis

PAS pula menyifatkan tindakan polis terhadap malaysiakini itu menunjukkan bahawa kebebasan akhbar di negara ini semakin terhakis.

"Melalui tindakan itu, kita nampak sangat kebebasan media di Malaysia semakin hari semakin disekat," kata setiausaha agungnya, Nasharuddin Mat Isa.

"Bila ada sahaja laporan yang tidak menyebelahi kerajaan, macam-macam tindakan diambil, tetapi tiada tindakan dikenakan terhadap media perdana yang membuat pembohongan terhadap pembangkang...ia mencerminkan sikap berat sebelah pihak berkuasa...," tegasnya.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In