BERITA

Anwar lari tanggungjawab pimpin PKR?

Syed Mohammad Hussaini

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Sep 2010, 11:06 tengahari

Tindakan Anwar Ibrahim menyatakan untuk tidak mahu menerima pencalonan bagi sebarang jawatan dalam parti sebenarnya telah meletakkan PKR di suatu persimpangan yang getir dan berpotensi  menjurus parti ke kancah konflik kepemimpinan yang akan membawa parah.

Sudahlah ahli parti sedang bertarung untuk memenangkan calon masing-masing di peringkat cabang, kini krisis kepemimpinan parti tampak akan merebak dan meluas apabila “medan tempur” dibuka bagi jawatan timbalan presiden.

azlan Hakikatnya, yang akan berkempen dan menyokong calon-calon timbalan presiden adalah pimpinan dan ahli di peringkat akar umbi.

Apakah jika mereka sudah “bermasam muka” selepas terluka dalam persaingan di peringkat cabang, akan boleh bersatu dalam memilih timbalan presiden?  

Dari segi teori syarahan politiknya memanglah boleh dan sewajarnya ahli parti bersatu kembali selepas bertanding; tetapi pada realiti dan adat serta “semangat berpolitik” orang-orang politik, tidak terkecuali PKR, bila sudah “lawan maka mereka akan tetap lawan”.

Jika orang “sebelah sana” menyokong calon A maka orang “sebelah sini” akan menyokong calon B atau C. Maka akan lengkaplah “perpecahan di dalam kesatuan politik” orang PKR dan inilah yang dihasratkan oleh para strategis Umno/BN.

Yang menghairankan banyak pihak adalah kenapa Anwar mengambil sikap dan tindakan untuk tidak mahu mencari jalan damai dan muafakat? Formula muafakat, Anwar sebagai presiden dan Azizah sebagai timbalan adalah yang terbaik bagi merungkai kemelut kepemimpinan parti buat masa ini.

Lebih menghairankan kenapan Anwar menolak pencalonan akar umbi sebelumpun ahli menyatakan hasrat mereka?

Otak kiri lawan otak kanan

Di frasa awal kenyataan mutakhir Anwar dalam blognya, dia menyebut “PKR memperkenalkan sistem pemilihan yang demokratik; memberi ruang kepada setiap anggota menentukan calon pilihan mereka; tetapi pada frasa akhir Anwar menyatakan “Saya juga tidak akan menerima sebarang pencalonan untuk sebarang jawatan dalam parti”.  

Tidakkah pelik kenyataan seperti ini?

pkr congress agm kota baru 300510 crowd Bagaimana boleh otak kiri Anwar menyatakan semua ahli parti boleh mencalonkan sesiapa sahaja pilihan mereka, tetapi otak kanan Anwar tiba-tiba mengatakan pencalonan apa-apa jawatan untuk Anwar Ibrahim “adalah dilarang” sama sekali.

Pada hemat pakar psikologi, tentunya ada sesuatu yang tidak kena dari reaksi otak yang seperti itu.

Yang menghairankan adalah kenapa pencalonan pun dilarang dan yang paling mengajaibkan adalah kenapa Anwar melarang pencalonan untuknya tetapi menyuruh ahli mengamalkan semangat demokrasi?

Apakah di belakangnya ada pengaruh “jampi bomoh politik” yang ditiupkan ke otak kiri dan otak kanan Anwar sehingga dia tiba-tiba mengeluarkan kenyataan yang amat kontradik dan membingungkan ahli parti.

Apakah Anwar sudah hilang kebijaksanaan untuk mengeluarkan kenyataan yang barangkali lebih melambang kedewasaan berpolitik atau ketinggian kematangan berpolitik seperti:

pkr congress agm kota baru 300510 anwar wan azizah "Saya tidak berhasrat untuk memegang apa-apa jawatan dalam parti buat masa ini atas beberapa pertimbangan yang saya fikir baik untuk parti, namun saya menyerahkan kepada budibicara ahli untuk mencalonkan sesiapa yang mereka hasratkan bagi memimpin parti!” - suatu ayat mudah yang boleh diungkap oleh mana-mana orang politik peringkat ranting yang mengaji sekolah.

Atau apakah sebenarnya ada orang dalam lingkaran parti yang cuba mempengaruhi Anwar supaya memberi pengarahan kepada ahli parti diperingkat cabang agar tidak mencalonkan Anwar bagi jawatan presiden atas pertimbangan.

Jika berlaku pencalonan Anwar sebagai presiden dan Azizah sebagai timbalan presiden maka kemungkinan jumlah pencalonan orang tersebut untuk jawatan timbalan presiden tidak akan mencapai kuota kelayakan atau mungkin akan menjadi amat sedikit untuk dibuat modal berkempen nanti.

Tidak perlu 'pengarahan'

Jika benar Anwar pejuang demokrasi dan mahukan semangat demokrasi yang murni subur dalam PKR, maka biarkanlah ahli di akar  umbi menyatakan  sikap dan citarasa mereka dahulu dan tidak perlu memberi “pengarahan”.

anwar ibrahim pkr congress 021208 06 Jikapun Anwar tidak mahu memegang apa-apa jawatan dalam parti, dia boleh sahaja menyatakan hasrat tersebut tetapi tidaklah sampai perlu menyatakan untuk tidak mahu menerima pencalonan.

Tidakkah lebih baik bagi ahli-ahli akar umbi dibenarkan menyatakan kehendak dan citarasa kepemimpinan yang mereka mahukan terlebih dahulu dan kemudian Anwar membuat penilaian, perundingan, permuafakatan dan keputusan.

Anwar bukan tidak tahu bahawa dengan membenarkan jawatan timbalan presiden ditandingi pada saat ini ianya tidak akan membawa banyak manfaat kepada PKR malah akan menjuruskan parti ke kancah pertikaian yang sengit.

Sesiapa pun jua yang akan bertanding jawatan timbalan kecuali  Azizah, akan membuka ruang kepada persaingan sengit kecuali jika ada permuafakatan di antara mereka.

Jika Anwar bersetuju menjadi presiden dan Azizah dicalon menjadi timbalan, semua ahli tahu bahawa tidak akan ada sesiapa yang “tega” mencabar kedua-duanya.

anwar ibrahim pkr congress 021208 05 Bukan kerana keduanya berkuku besi dalam parti tetapi kerana kedua-dua mereka dihormati dan disayangi oleh ahli terbanyak.

Dan semua pemimpin PKR yang mahu maju ke tahap lebih tinggi sedar bahawa ahli terbanyak akan menolak idea untuk mencabar kedua-dua pemimpin tersebut. 

Semua ahli yang mendukung perjuangan PKR kecuali ahli yang dibawa masuk oleh “taiko” tertentu semata-mata untuk diupah mengundi, amat sedar bahawa gandingan Anwar dan Azizah adalah formula terbaik untuk mengamankan parti buat masa ini.

Ketua tidak rasmi?

Namun nampaknya Anwar telah dipengaruhi untuk sengaja tidak mahu menerima dan melayan citarasa ahli parti peringkat akar umbi yang selama ini telah menobatkannya sebagai “ketua tidak rasmi” dalam PKR dan kini mahu menobatkannya sebagai Ketua Rasmi mereka.

Siapakah sebenarnya yang menasihatkan Anwar supaya menolak pencalonan dan apakah alasannya?

pkr national congress 301108 azmin ali Barangkali mereka yang cuba mempengaruhi Anwar ini sedar bahawa jika berlakunya 100 peratus pencalonan Anwar sebagai presiden dan Azizah sebagai timbalan pada pusingan pertama pencalonan di peringkat cabang, tentunya mereka atau calon yang mereka jaja akan menghadapi laluan yang amat sukar untuk masuk bertanding, apatah lagi untuk menang.

Jadi formula yang paling startegik adalah mempengaruhi Anwar supaya jangan bertanding presiden dan mudahlah bagi mereka meraih sokongan pencalonan terbanyak bagi jawatan timbalan presiden dan seterusnya memenangi jawatan yang diidamkan sejak sekian lama itu.

Kini usaha itu nampaknya akan berhasil. Namun ahli parti di peringkat akar umbi harus sedar bahawa PKR tidak harus selamanya dibayangi lagi oleh Anwar kerana Anwar itu sendiri boleh wujud secara nyata dalam parti.

Kenapa tidak Anwar terus memimpin PKR sekarang ini dan dengannya parti akan lebih aman. Dan jika bimbang Anwar dipenjarakan, maka Azizah diletakkan di barisan kedua sebagai persiapan. Apa masalahnya?

Mulai saat ini ahli PKR harus berani menyatakan sikap dan citarasa mereka kepada “ketua” mereka bahawa mereka mahukan presiden yang “Sebenar-benarnya presiden” yang mempunyai “full command” dan “full responsibility” dan bukannya “Presiden Bayangan” yang  “dikawal jauh” oleh tangan ajaib.

pkr congress ceramah 291108 supporters2 Masihkah PKR yang mendabik dada sebagai parti yang memperjuangkan keadilan dan ketelusan mahu mengamalkan sistem pengurusan parti yang sebenarnya tidak terkandung di dalam perlembagaannya dan tata kepengurusan organisasinya?

Jangan sampai esok ada kes dibawa ke mahkamah, hanya kerana “Ketua Umum” yang tidak pernah diberikan hak dalam perlembagaan parti,  hadir dan turut membuat keputusan tertentu dalam parti yang nantinya boleh dipertikaikan.

Alangkah malang dan “komannya” sistem pengurusan parti Harapan Baru rakyat yang seperti itu!

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.