Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: KPN baru mesti berdepan kes Sosilawati
Diterbitkan:  Sep 15, 2010 5:33 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Ketua polis negara yang baru dilantik Tan Sri Ismail Omar mesti berdepan kes pertama melibatkan jenayah kejam terhadap jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya bagi membanteras jenayah dalam negara ini, kata Pemuda PAS.

pas umno pemuda talks parliment 010709 nasrudin hassan "Pemuda PAS juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Ismail yang telah dilantik sebagai ketua polis negara yang baru agar beliau dapat berkhidmat dengan adil, telus, benar dan saksama serta cekap dan tegas membasmi rasuah dan jenayah dalam negara ini.

"Kes jenayah kejam yang menimpa Datuk Sosilawati menjadi kes berprofil tinggi yang pertama mesti dihadapi oleh ketua polis negara yang baru," kata ketua dewan itu Nasrudin Hassan.

Beliau juga berkata, melihat kepada pelbagai perkembangan mutakhir - termasuk terbaru kes Sosilawati - semua pihak ragu bahawa indeks jenayah menurun walaupun kerajaan mengumumkan sebaliknya.

"Sebaliknya rata-rata (rakyat) melihat Malaysia merupakan sebuah negara yang berdepan dengan ancaman nilai keamanan dan keselamatan," kata Nasrudin.

Sosilawati Lawiya police search afp 2 "Setiap hari akan ada sahaja jenayah dilaporkan berlaku di seluruh negara oleh media massa. Bahkan jenayah tidak lagi dihitung dengan kadar berapa kali kejadiannya setahun, sebulan dan sehari, tetapi kini dihitung mengikut kadar jam, minit dan saat."

Selain yakin kadar jenayah secara keseluruhan turun sebanyak lima peratus, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata jenayah jalanan juga akan turun sebanyak 20 peratus menjelang Disember.

azlan Beliau berkata, laporan yang dikeluarkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) mengenai penurunan kadar jenayah, meneguhkan keyakinan semua pihak untuk mencapai matlamat tersebut.

Menurutnya, pencapaian bagi menurunkan indeks jenayah keseluruhan dari Januari hingga Ogos lalu sebanyak 16.24 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan penurunan signifikan 37 peratus jenayah jalanan dalam tempoh sama adalah kesan daripada pelbagai langkah dan pendekatan luar kotak yang dicetuskan di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Sehubungan itu, dalam satu kenyataan hari ini, sambil menyenaraikan 11 kes jenayah sepanjang tahun ini, Nasrudin berkata pencapaian NKRA dilihat sangat tidak meyakinkan.

"Malah negara masih subur dengan elemen-elemen yang mempunyai potensi besar untuk mendorong berlakunya satu- satu jenayah.

"Sementelah pula langkah pencegahan masih bersifat melepaskan batuk ditangga. Ianya tidak dilakukan secara serius," kata Nasrudin.

"Ianya samalah seperti mencetak kata-kata amaran dan gambar penyakit yang menjadi akibat ketagihan rokok di kotak rokok dan kemudiannya dibenarkan ia dijual kepada orang ramai."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS