Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KPN: Siasatan kes Sosilawati tanpa unsur perkauman
Diterbitkan:  Sep 16, 2010 3:16 PM
Dikemaskini: Sep 17, 2010 1:57 AM

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang baru memegang tampuk kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini berkata siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain dilakukan tanpa sebarang unsur perkauman.

Kes siasatan Sosilawati adalah kes jenayah biasa kerana ada penjenayah dan ada mangsa, katanya ketika sesi dialog bersama pemimpin masyarakat di Banting sempena lawatan pertama beliau ke Selangor sebagai Ketua Polis Negara, lapor Bernama.

police deputy inspector general ismail omar pc at bukit aman 180908 02 Pada sesi dialog itu beliau berkata siasatan terhadap kes-kes yang ada unsur perkauman seperti kes pembakaran gereja di Petaling Jaya dan surau di Johor dijalankan berlandaskan undang-undang.

Beliau berkata masyarakat perlu faham bahawa proses pendakwaan kes itu adalah di bawah bidang kuasa Peguam Negara bukannya polis.

Ismail berkata demikian selepas seorang daripada pemimpin masyarakat setempat membangkitkan isu mengapa kes surau di Negeri Sembilan yang dibaling cat dan botol arak tidak dibawa ke mahkamah sedangkan kes pembakaran gereja ada yang dihadapkan ke mahkamah.

Dalam perkembangan berkaitan, agensi berita itu juga melaporkan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar sebagai berkata suspek utama siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk

Sosilawati Lawiya turut mempunyai kaitan dengan kes orang hilang, pembunuhan dan jenayah komersil di daerah Kuala Langat.

Beliau berkata suspek utama itu yang merupakan seorang peguam turut disiasat berkaitan kes kehilangan seorang lelaki warga India di Banting yang didakwa hilang sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, Khalid berkata laporan polis mengenai ahli perniagaan warga India itu baru dibuat pada 8 Sept lepas.

CPO: Kalau peguam 'dibeli', lapor SPRM

"Jadi macam mana kita tahu jika tidak ada laporan," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita dalam majlis yang sama.

Khalid berkata peguam tersebut juga didapati mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan seorang wanita di Banting tahun lepas.

NONE Laporan akhbar menyatakan bahawa wanita itu T Selvi, 44 isteri kepada seorang pemilik bengkel kenderaaan dipercayai dibunuh kerana perselisihan faham mengenai urus niaga pinjaman wang yang melibatkan peguam itu.

"Walaupun suami mangsa ada membuat pelbagai ulasan mengenai kes itu, saya tidak bercadang beri apa-apa komen kerana kes itu sedang disiasat," kata Khalid.

Beliau berkata polis mendapat petunjuk-petunjuk baru mengenai kes pembunuhan wanita itu selepas siasatan dijalankan ke atas pembunuhan Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shansuddin, 44, peguamnya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohamad, 38.

"Kes ini tidak pernah ditutup dan kita akan lakukan risikan bagi mendapatkan lagi maklumat," kata Khalid.

Beliau berkata pihaknya ada menerima tujuh laporan jenayah komersial terhadap peguam itu antaranya kes pecah amanah dan penipuan jual beli tanah sejak tahun 2005 yang melibatkan kerugian RM7.1 juta.

Ditanya sama ada peguam itu telah "membeli" polis-polis di Kuala Langat, katanya jika sesiapa mempunyai maklumat sedemikian mereka boleh melaporkan terus kepada beliau, Bukit Aman mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita tidak akan lindungi orang kita yang menyeleweng," tegas Khalid seperti dilaporkan Bernama.

ADS