Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News

Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan (SK) tidak mampu menggantikan kemantapan sistem pendidikan Islam yang ditawarkan oleh Sekolah Agama Rakyat (SAR), kata pengerusi Gerakan Bertindak Umat Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (Gegar) Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau mendakwa walaupun SK dilengkapi dengan segala kelengkapan, kurikulum dan kaedah yang moden, beliau tidak yakin sistem itu boleh menghasilkan pelajar yang berkualiti dari segi ilmu agama Islam.

Katanya, SK bukan sahaja tidak mampu menghasilkan pelajar yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai agama, malah ianya juga gagal melahirkan pelajar yang mempunyai kekuatan akhlak Muslim yang baik.

"Beberapa pendedahan telah dibuat mengenai pelajar sekolah kebangsaan yang masih tidak kukuh dalam pengetahuan mengenai Fardhu Ain termasuk tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah dengan baik," katanya.

Mohd Azmi berkata demikian dalam kertas kerja yang dibentang di Konvesyen Nasional Sekolah Agama Rakyat anjuran Gegar di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Analisa terperinci mengenai sistem SAR menunjukkan matapelajaran dan masa yang diberi kepada pendidikan Islam jauh lebih banyak berbanding SK dan perbezaannya amat ketara.

Kadar keciciran

"Di sekolah rendah agama, masa pelajaran agama adalam 15 jam seminggu sedangkan sekolah rendah kebangsaan hanya tiga jam seminggu. Di peringkat menengah rendah 14 jam seminggu berbanding hanya 2.66 jam di SK.

"Manakala diperingkat sekolah agama atas, SAR memperuntukkan 19.33 jam seminggu berbanding hanya enam jam disekolah kebangsaan," katanya.

Bukan itu sahaja, katanya, SAR juga menawarkan matapelajaran agama yang mendalam, iaitu pecahan kepada sembilan subjek (madah) sedangkan di SK, semua subjek disatukan secara umum menjadi satu matapelajaran umum.

Keperibadian pelajar SAR juga, katanya, jauh lebih baik berbanding SK kerana penekanan kesedaran agama dalam mengendalikan perlakuan dan disiplin diri sentiasa ditekankan di SAR.

"Jika benar sistem pendidikan SK berkesan, mengapa masalah disiplin mencecah lebih dari ratusan ribu kes salahlaku pelajar setahun diseluruh negara?" soal beliau.

Mohd Azmi ( kiri ) juga menangkis tohmahan bahawa pelajar SAR tidak mempunyai masa depan yang cerah berbanding pelajar sekolah kebangaan.

Peluang cerah

Sebaliknya, kata beliau, ramai pelajar SAR yang berjaya mendapat tempat untuk meneruskan pelajaran mereka di peringkat universiti, baik di dalam mahupun luar negara.

Menurutnya lagi, kecermelangan mereka dalam bidang agama seimbang dengan ilmu akademik kerana pelajar SAR juga menduduki peperiksaan awam seperti Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di samping empat Thanawi, Sijil Menengah Agam (SMA) dan Sijil Tinggi Agama (STA).

Katanya, ini dapat dilihat dalam kajian oleh Badan Penyelidikan Dasar Pedidikan (BPDP), Kementerian Pendidikan pada tahun 1996 yang mendapati prestasi pelajar meningkat dari tahun ke tahun. Kajian itu juga menunjukkan pelajar menengah di SAR berpeluang melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat tinggi.

Mohd Azmi juga mendakwa masalah keciciran pelajar di peringkat sekolah menengah kebangsaan adalah lebih serius berbanding di SAR.

"Kadar keciciran di sekolah kebangsaan pada 1992-1993 adalah 7.97 peratus (87,410 pelajar), terutama di kalangan pelajar tingkatan tiga dan empat. Soalnya kenapa SAR, yang tidak menghadapi masalah ini, menjadi sasaran tuduhan bahawa pelajarnya tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

"Lebih memeranjatkan lagi, peratusan pelajar SK yang berjaya menamatkan pelajaran bagi tempoh 1989-1993 hanyalah 68.01 peratus," katanya lagi.

Cadangan

Beliau berkata SAR bukan sahaja telah melahirkan golongan ulama yang berwibawa, tetapi sistem pendidikan itu juga berjaya melahirkan pejuang kemerdekaan dan warga negara yang bertanggungjawab.

Oleh itu, beliau berpendapat sistem SAR perlu diberi peluang untuk terus berkembang serta usaha perlu dilaksanakan untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang ada dan bukan "membunuhnya".

Beliau menyifatkan tindakan kerajaan menghentikan bantuan perkapita dan cadangan menyerap SAR ke SK sebagai satu penganiayaan terhadap guru dan pelajar SAR.

Mohd Azmi berkata, komitmen para pendidik SAR memang tinggi, kerana walaupun menerima imbuhan yang sangat minima, mereka tetap berkhidmat kerana kepentingan pendidikan Islam kepada anak-anak bangsa.

"Oleh itu, bantuan kerajaan dianggap suatu keringanan besar kepada SAR dalam membantu pendidiknya mendapat pendapatan munasabah untuk menampung keperluan hidup, walaupun masih jauh lebih rendah daripada apa yang diperolehi guru disekolah kebangsaan,"katanya.

Manakala seorang lagi penalis, Wan Ahmad Tarmizi Abdul Aziz, yang merupakan seorang mudir di Ma'had Al-Ummah pula mencadangkan beberapa strategi untuk memastikan kesinambungan pendidikan SAR di Malaysia.

Antara cadangannya adalah dengan mengadakan majlis ramah mesra di antara ibubapa, pentadbir sekolah dan masyarakat, di samping mengedarkan risalah untuk memupuk kesedaran masyarakat mengenai isu SAR serta meningkatkan kebajikan guru dan membina rangkaian ekonomi SAR.

Beliau juga menyarankan agar pihak yang terlibat dengan SAR supaya terus bekerjasama dengan Majlis Raja-Raja Melayu untuk melindungi SAR dan juga memperkemaskan hubungan dengan Jabatan Agama Islam Negeri bagi menigkatkan kualiti SAR.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS