Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sebutan permohonan 2 lelaki ingin murtad - 19 Dis
Diterbitkan:  Sep 22, 2010 5:21 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini menetapkan 19 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula permohonan dua lelaki untuk keluar daripada agama Islam.

Hakim Syarie Rosdi Harun menetapkan sebutan semula permohonan Mohd  Rajiman Chin Abdullah, 48, dan Mohd Ramzan Maniarasan, 38, akan dibuat secara bersama pada tarikh tersebut.

Beliau menetapkan tarikh itu selepas Peguam Syarie, Syed Ahmad Shabuddin Syed  Nong yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu  (Maidam) sebagai responden kes itu memaklumkan mahkamah Pegawai Penasihat Undang-undang Syariah yang mewakili Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Jheait) sedang cuti bersalin.

Beliau meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula yang baru untuk kedua-dua  permohonan itu iaitu selepas pegawai wanita itu kembali bertugas pada Disember ini.

Rosdi berkata beliau berharap tempoh yang panjang sehingga tarikh sebutan semula itu digunakan sebaik-baiknya oleh kedua-dua pihak untuk membuat persediaan memandangkan kes itu serius dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan akidah.

    

Katanya beliau mahu memberi peluang kepada dua agensi yang  menjaga kepentingan orang Islam di Terengganu itu bersedia dengan dokumen lengkap untuk berhadapan dengan tuntutan  itu.

"Untuk pemohon pula, kalau betul-betul mahu teruskan  hasrat ini boleh lantik peguam. Memohon untuk keluar Islam bukan satu perkara yang ringan. Kalau orang Islam yang murtad, boleh dibunuh, itu hukum Islam," katanya.

Ketika mengulas permohonan Mohd Rajiman supaya kes beliau diselesaikan dengan segera, Rosdi berkata mahkamah  mempunyai prosedur khusus yang perlu dipatuhi.

Mohd Ramzan pula berkata beliau terpaksa membawa permohonannya itu sendiri ke mahkamah kerana tidak ada peguam  syarie yang mahu mewakilinya, ketika ditanya sama ada akan melantik peguam untuk mewakilinya.

- Bernama

ADS