Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perlukah menara jam 105 tahun diselamatkan?
Diterbitkan:  Sep 24, 2010 6:26 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Selepas perdebatan penuh dramatik mengenai cadangan loji janakuasa arang batu 300MW di Lahad Datu di pantai timur  Sabah, satu lagi isu sedang hangat diperdebatkan iaitu pembinaan bangunan komersil 16 tingkat berdekatan dengan bangunan bersejarah Menara Jam Atkinson di tengah-tengah bandar raya ini.

Semua itu bermula apabila laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang dikemukakan oleh pemaju bagi cadangan kompleks beli-belah itu dalam kawasan struktur kolonial tertua di bandar raya ini ditolak oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) baru-baru ini.

Isu itu tidak tamat di situ. Sebalik hangat diperdebatkan.

Dalam mempertahankan projek itu, Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (SHTDA) Datuk Rubin Balang semalam berkata cadangan projek pembangunan komersil itu tidak mempunyai kesan negatif terhadap menara berusia 105 tahun itu.

Rubin juga dipetik sebagai mendakwa usaha juga sedang diambil dalam projek usahasama antara SHTDA sebagai pemilik tanah dan pemaju swasta untuk meningkatkan nilai estetika menara jam itu.

Bagaimanapun, kenyataan beliau itu telah menerima pelbagai reaksi terutama daripada kalangan penduduk bandar raya ini sehinggakan ada sesetengah pihak menyamakan debat itu seolah-olah pilihan penting antara menyelamatkan Menara Jam Atkinson atau membenarkan pembangunan komersil di kawasan itu.

Aktivis sosial Datuk Patrick Sindu berkata Menara Jam Atkinson, satu daripada tempat bersejarah di negeri ini patut dilindungi sepenuhnya.

"Kelihatan seperti bandaraya Kota Kinabalu mempunyai pelan pembangunan "rojak" terutamanya di kawasan Signal Hill. Saya percaya kita masih ada tanah di kawasan lain di Kota Kinabalu yang sesuai untuk projek yang dicadangkan itu.

"Kita perlu prihatin akan nilai sejarah menara jam ini. Ia merupakan struktur tertua yang masih teguh berdiri di Sabah yang terselamat daripada serangan udara dan serangan Perang Dunia Kedua.

"Kenapa kita perlu ganggu landskap semulajadi jam bersejarah ini? Kenapa tidak cari tempat lain bagi projek ini?" katanya kepada Bernama di Kota Kinabalu hari ini.

Patrick berkata atas apa juga alasan atau justifikasi, tiada jaminan tidak akan berlaku tanah runtuh sebaik sahaja landskap asal tanah bersebelahan "diganggu".

"Apa-apa sahaja boleh berlaku membabitkan bencana alam. Sebab itulah kita perlu bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kejadian tidak diingini, dan satu daripada penyelesaian itu  ialah dengan membatalkan projek itu demi kebaikan rakyat dan negeri ini," katanya.

Oleh yang demikian, beliau menggesa kerajaan negeri Sabah bersikap tegas dalam melindungi Menara Jam Atkinson dan kawasan sekitarnya.

Menara Jam Atkinson diwartakan sebagai kawasan dilindungi pada 1997 di bawah Enakmen Warisan Kebudayaan (Pemuliharaan) 1997.

Patrick berharap kerajaan negeri juga akan menghormati keputusan DOE menolak laporan EIA bagi projek itu sepertimana dalam kes cadangan loji janakuasa arang batu di Lahad Datu.

- Bernama

ADS