P'raya Galas: PMIUM anggap Khaled terlalu paranoid

   

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyifatkan amaran Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin kepada mahasiswa supaya tidak terlibat dalam pilihan raya kecil DUN Galas sebagai aneh dan tidak selari dengan peredaran zaman.

Ahmad Syazwan Mohd Hasan Yang dipertuanya, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata kenyataan itu menunjukkan seolah-olah Khaled terlalu paranoid jika mahasiswa terlibat dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

"Beberapa dekad mutakhir ini, mahasiswa di Malaysia diperlakukan seperti penjenayah yang dikuarantin dalam kampus dan tidak dibenarkan untuk menghirup udara segar demokrasi dalam negara, sebagaimana anak muda yang seusia di luar kampus.

"AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) menjadi hantu kepada mahasiswa dan dijadikan bahan ugutan oleh pihak kerajaan untuk menakutkan mahasiswa sejak kebelakangan ini.

"Namun, adakah mahasiswa seluruhnya memahami AUKU secara mendalam?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad berkata, dalam AUKU, perkara yang menjadi subjek perbincangan ialah seksyen 15 (a) yang tidak membenarkan mahasiswa menyatakan sokongan, simpati ataupun bangkangan terhadap mana-mana parti politik dan terlibat aktif dalam politik kepartian.

NONE "Akta ini cukup jelas menyekat mahasiswa untuk terlibat dengan parti politik dalam negara, bukannya sistem politik negara.

"Saya rasa di sini timbul keraguan di antara pelaksanaan undang-undang yang mentafsirkan seksyen tersebut mengikut selera masing-masing," tambahnya.

Ahmad juga berkata, akta tersebut tidak menyatakan bahawa mahasiswa tidak boleh terlibat dalam pilihan raya, sama ada umum ataupun kecil.

"Mahasiswa hanya dilarang untuk berkempen dan menyatakan sokongan kepada parti yang bertanding, itu sedia maklum.

"Namun, persoalan saya, jika ada beberapa calon bebas bertanding dalam pilihan raya itu nanti, maka adakah mahasiswa boleh terlibat dalam pilihanraya tersebut sedangkan calon bebas ini bertanding atas kapasiti individu, bukannya parti?.

NONE "Maka tidak ada tindakan yang boleh dikenakan ke atas mahasiswa yang turun berkempen untuk calon bebas tersebut kerana mereka tidak boleh dikaitkan dengan parti politik yang sah.

"Di sinilah lompang dan tidak relevannya AUKU yang hanya memandang parti politik itu subjek, sedangkan objek pilihanraya masih luas dalam sistem demokrasi yang diamalkan.

"Maka saya boleh nyatakan bahawa mahasiswa boleh sama sekali terlibat dalam pilihanraya dan berkempen jika ada calon bebas yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti," tegasnya.

student protest 230110 Selain itu, Ahmad berkata, jika hanya calon dari parti politik sahaja yang terlibat, maka tidak salah juga bagi mahasiswa untuk ke sana sekadar mengikuti dengan lebih dekat amalan pilihan raya di Malaysia.

Oleh itu, kesimpulannya, tegas beliau, mahasiswa mempunyai hak dan kebebasan untuk bersuara sebagaimana yang dijamin oleh artikel 10 perlembagaan persekutuan.

Malaysiakini
terkini untuk anda