BERITA

PAS: Rosmah minta 'sedekah' di Belgium

Diterbitkan
Dikemaskini 6 Okt 2010, 1:29 pagi

Hajat Rosmah Mansur melawat pusat remaja hamil di Brussel hari ini untuk mendapatkan input bagi menangai masalah pembuangan bayi adalah tidak munasabah dan menggambarkan seolah-olah kerajaan hilang punca dan kontang idea, kata PAS.

Ketua penerangannya Idris Ahmad berkata, isteri perdana menteri tidak sepatutnya merujuk kepada Centrum voor Integrale Gezinsgorg (CIG) kerana keadaan iklim dan sosial budayanya berbeza dengan negara ini.

idris ahmad information chief pas muktamar in kota bharu "Tindakan yang dibuat oleh Datin Seri Rosmah untuk merujuk negara Belgium bagi mengatasi masalah anak luar nikah, seolah-olah anak yatim yang kaya dengan harta peninggalan bapanya, tetapi masih lagi meminta sedekah kepada orang ramai.

"Begitulah juga tindakan Datin Rosmah ibarat memohon sedekah dan ehsan daripada orang lain, sedangkan kita mempunyai rujukan iaitu Islam," kata Idris lagi.

Rosmah hari ini dijadual melawat CIG, sebuah pusat bersepadu bagi membantu remaja hamil di Brussels, Belgium.

Pada 1 Oktober lalu, beliau dilaporkan berkata, lawatan itu bertujuan melihat sendiri pendekatan yang diguna pakai dalam melindungi remaja yang mengandung tanpa nikah dalam usaha menangani masalah pembuangan bayi yang semakin serius.

Rosmah juga berkata, sebelum menubuhkan pusat perlindungan bagi remaja hamil di negara ini, adalah penting kerajaan mendapatkan pendekatan terbaik daripada segi saintifik dan sistematik seperti yang diaplikasikan di negara lain.

Dalam satu kenyataan hari ini, Idris juga mempersoalkan, kenapa begitu takut hendak merujuk kepada "pendekatan Islam yang lebih menyeluruh dan telah terbukti berjaya".

"Kaedah yang perlu digunakan mestilah merujuk kepada apa yang diajar oleh Rasulullah SAW iaitu pendekatan mencegah dan mendidik," katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.