DBP disyor anjur semula debat Mahfuz-Hishamuddin
Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar berharap pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dapat mengambil dayausaha untuk menganjurkan semula perdebatan di antara beliau dengan ketua Pemuda Umno Malaysia yang dibatalkan dua tahun lalu.
Ini berikutan kejayaan pihak DBP menganjurkan debat mengenai sekolah agama rakyat (SAR) di antara Ketua Umno Chenderoh, Datuk Nazri Aziz dengan timbalan ketua PAS pusat, Salahuddin Ayob malam tadi.
"Pihak DBP boleh anjurkan...saya bersedia mengambil bahagian...tetapi tak tahulah sama ada Datuk Hishamuddin akan bersetuju...," kata Mahfuz kepada
malaysiakini
hari ini.
Dalam debat itu semalam, Nazri dan Salahuddin masing-masing diberi masa sejam untuk membahas dan menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan berhubung SAR. Manakala ketua pengarah DBP, Datuk Aziz Deraman mempengerusikannya.
"Ini menunjukkan program seumpama itu, yang bersifat wacana politik, boleh diadakan lagi selepas itu...kalau boleh DBP anjurkan semula perdebatan saya dengan Datuk Hishamuddin Tun Hussein," katanya lagi.
Katanya, melalui majlis seumpama itu, pihak PAS dan Umno atau parti-parti politik yang lain, boleh bersemuka dan mengemukakan hujah masing-masing secara tenang dan rasional.
Bersikap rasional
Dengan cara itu, katanya, penyokong kedua-dua belah pihak dapat menghayati pandangan yang dikemukakan dalam keadaan rasional.
"Dalam keadaan di mana ceramah politik tidak boleh diadakan, maka majlis seumpama itu yang membincangkan tajuk-tajuk yang menyentuh soal kehidupan rakyat amat sesuai diadakan.
"Kalau boleh biarlah ianya diadakan secara terbuka atau disiarkan secara langsung supaya lebih ramai dapat mengikuti hujah-hujah yang dikemukakan untuk pertimbangan mereka," tegasnya.
Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena, yakin usaha seumpama ini, jika dilakukan secara berterusan, akhirnya akan dapat mewujudkan suasana politik yang sihat dan rasional di mana pemimpin dan penyokong parti politik akan saling hormat-menghormati, walaupun berlainan ideologi politik.
Oleh itu, Mahfuz berharap debat di antara beliau dan Hishamuddin yang tertangguh sebelum ini, dapat 'dihidupkan' kembali bagi membincang isu yang berkaitan dengan orang Melayu.
"Yang penting, majlis debat seumpama itu boleh memberi peluang kepada rakyat membuat penilaian berdasarkan penghujahan kita. Kita bukan lakukan pemaksaan supaya rakyat terima...biar rakyat menilai sendiri," tambahnya.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now