Yang di Pertua Persatuan Ulama Malaysia Abdul Ghani Samsuddin mengingatkan bahawa tidak ada sebarang alasan yang membolehkan rumah ibadah umat Islam dirobohkan melainkan untuk digantikan dengan premis baru yang berhampiran.

Sehubungan itu, beliau berkata adalah tidak masuk akal sama sekali bagi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memerintahkan agar surau di flet Jubli Perak, Bandar Baru Bangi, dirobohkan semata-mata kerana mahu memaksa penghuni flet tersebut untuk mengerjakan ibadah solat fardhu dan Jumaat di masjid yang terletak lima kilometer dari kediamaan penduduk di situ.

"Apatah lagi sekiranya surau tersebut dirobohkan atas alasan politik, yang kononnya ianya menjadi kubu kuat pembangkang," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Beliau mengingatkan, ajaran Islam melarang keras sebarang usaha untuk menghalang umatnya mengerjakan ibadat di rumah Allah dan mereka yang berbuat demikian dikira melakukan dosa yang besar.

Dalam satu operasi bersepadu minggu lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang turut disertai oleh polis (termasuk kira-kira 30 anggota Unit Simpanan Persekutuan), bomba, Perbadanan Urus Air Selangor Sdn Bhd (Puas), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Perbadanan Kemajuaan Negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang, telah merobohkan dinding surau yang terletak dibawah blok 4 flet tersebut serta merampas segala peralatan.

Antara yang dirampas termasuklah naskah Al Quran, surah Yassin, permaidani, kipas, hiasan khat, jam, dan beberapa peralatan lagi.

Titik hitam

Abdul Ghani berkata terdapat ayat-ayat Quran yang jelas menyentuh perbuatan mana-mana pihak yang melarang umatnya mengerjakan ibadat di rumah Allah serta merobohkannya sebagai perbuatan yang zalim dan hina di sisi tuhan.

"Oleh itu, PUM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang diambil oleh Mais dalam merobohkan surau yang menjadi tempat ibadat bagi lebih 7,000 umat Islam di kawasan flet tersebut," jelasnya.

Katanya, peristiwa awal minggu lalu merupakan satu titik hitam dalam sejarah perkembangan Islam tanahair di mana kerajaan selama ini sentiasa peka dengan keperluan rakyat untuk beribadat.

"Tiba-tiba sebuah surau dirobohkan atas alasan yang lansung tidak munasabah sehingga jemaahnya tidak lagi dibenarkan mengerjakan ibadah di situ," katanya.

"Apakah selepas ini Mais perlu merobohkan surau-surau lain yang terletak berhampiran dengan masjid sama seperti kes surau Jubli Perak?" soal Abdul Ghani.

Semalam, pegawai perhubungan awam Jais, Fakrul Azam Yahya memberitahu malaysiakini bahawa tapak surau tersebut akan dijadikan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas.

"Jais akan tetap berpegang dengan keputusan bahawa surau itu tidak boleh lagi digunakan untuk beribadah kerana kerajaan telahpun mendirikan sebuah masjid yang canggih bernilai jutaan ringgit di Bandar Baru Bangi," kata

Fakrul yang bercakap bagi pihak Pengarah Jais, Datuk Mansur Ramli turut mengakui bahawa politik PAS merupakan "faktor sumbangan" yang membawa kepada tindakan merobohkan surau itu, sambil mengulangi bahawa matlamat asal pihak berkuasa agama negeri ialah supaya penduduk di situ mengerjakan ibadat di Masjid Hasanah, Bandar Baru Bangi.

Tiada pengangkutan

Bagaimanapun, tinjauan malaysiakini Jumaat lalu, mendapati beratus-ratus pelajar di situ menghadapi kesukaran untuk mengerjakan solat Jumaat kerana ketiadaan pengangkutan untuk ke Masjid Hasanah.

Bagaimanapun, tindakan pihak berkuasa merobohkan surau tersebut gagal menghalang jemaah di flet tersebut dari terus menunai kewajipan beribadah di situ, walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan.

Fakrul menjelaskan tindakan boleh diambil terhadap mereka yang terus-meneruskan bersolat di situ di bawah enakmen syariah negeri Selangor.

Pengerusi surau berkenaan, Samion Musiron, berkata penghuni yang mendiami 13 flet lima tingkat di situ tiada pilihan melainkan mengengkari perintah Jais kerana adalah menjadi kewajipan bagi penganut Islam mengerjakan solat lima waktu serta solat Jumaat.

Surau yang berusia 12 tahun itu telah mendapat perkenan dari Sultan Selangor pada tahun 1996 untuk membolehkan jemaah mengerjakan solat Jumaat di situ.