BERITA Malaysiakini

'Siapa pula bawa Rahimi masuk pejabat PKR?'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Terdapat persoalan 'misteri' yang tidak pernah dibincangkan oleh anggota PKR tentang Rahimi Osman, iaitu siapakah yang membawanya masuk ke ibu pejabat PKR?

"Kita sudah tahu, Rahimilah dalang membawa (Mohd) Saiful Bukhari (Azlan) menjadi salah seorang pegawai khas Anwar.

"Tetapi, persoalan yang lebih penting yang tidak pernah kita semua perbincangkan, siapakah yang membawa Rahimi masuk ke ibu pejabat PKR dan menjadi pegawai khas Anwar?" soal naib presidennya Mustaffa Kamil Ayub.

Minggu lepas, Rahimi - bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim - mendakwa beliau dipaksa dua peguam PKR Latheefa koya dan Saiful Izham Ramli untuk menandatangani akuan bersumpah bagi mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dan isterinya dalam kes dakwaan liwat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Latheefa dan Saiful - kedua-duanya juga pemimpin PKR - bagaimanapun menafikannya. Mereka sebaliknya mendakwa akuan bersumpah itu dibuat secara sukarela.

Dalam satu kenyataan semalam, Musaffa berkata, alangkah liciknya mainan "pembesar-pembesar Umno sehingga anggota parti pun tidak dapat menghidu rancangan busuk dan tidak bermaruah ini".

"Saya sangat yakin orang-orang Najib mahu rakyat melihat parti ini sudah didalangi dalang-dalang politik busuk yang bermasalah," dakwa Mustaffa yang juga pengerusi PKR Perak.

Beliau juga mendawa Rahimi tampil mengatakan dipaksa menamakan Najib dan Rosmah dalam akuan bersumpahnya semata-mata untuk melindungi kepentingan kedua-dua mereka.

"Rakyat dan anggota parti mahu diperbodohkan lagi dengan memadamkan nama kedua-dua peribadi misteri ini," kata Mustaffa sambil mempertikaikan kenapa Rahimi "beriya-iya" mahu memadamkan nama itu sekarang.

"Tidakkah kita hairan, mengapa Najib-Rosmah begitu berdiam diri dan sangat defensif walhal Rahimi bermati-matian cuba memadamkan nama kedua-dua peribadi itu dalam akuan bersumpahnya," katanya.