BERITA

PKR Batu Sapi senaraikan tiga calon

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Okt 2010, 4:38 pagi

Cawangan PKR Batu Sapi telah menyenarai-pendek tiga calon yang berkelayakan untuk diketengahkan bagi pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi, kata ketuanya Hassnar Ebrahim.

hassnar ebrahim 291009 02 "Tiga nama berkenaan - seorang Bajau, seorang Suluk dan seorang lagi untuk dipertimbang oleh kepimpinan PKR Sabah malam ini.

"Biarkan pucuk pimpinan umumkan keputusan itu. Kami akan adakan juga mesyuarat Pakatan Sabah di Kota Kinabalu tidak lama lagi bagi membincang persiapan pilihan raya kecil.”

PKR diamanahkan untuk bertanding di parlimen Batu Sapi dalam pilihan raya 2008 tetapi parti itu gagal mengetengahakan sebarang calon pada hari penamaan calon.

Calon ditahan polis

"Apa yang berlaku pada pilihan raya umum 2008 tidak patut dipersalahkan ke atas PKR. Calon kami, Dr Yusuf Sheikh Ahmad, malangnya ditahan oleh anggota polis cawangan khas untuk disoal-siasat sehingga proses penamaan calon berakhir,” dakwa Hassnar.

azlan Pengarah pilihan raya PKR, Fuziah Salleh telah menyatakan minat parti itu untuk bertanding, meskipun DAP dikatakan berminat untuk mewakili Pakatan Rakyat.

Menurut Hassnar, beliau bukan antara calon PKR meskipun beliau dilantik sebagai ketua cawangan baru-baru ini. Beliau juga menolak spekulasi bahawa PKR akan menyerahkan kerusi itu kepada DAP untuk bertanding.

Batu Sapi adalah kawasan majoriti penduduk Islam, manakala bukan Islam yang dikatakan penyokong DAP mewakili kira-kira 40 peratus daripada pengundi.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, pada Sabtu lalu.

Chong, seorang perunding kejuruteraan adalah bendahari PBS dan pengerusi cawangan Elopura parti itu.

edmund chong ket wah 01 Mendiang menduduki kerusi Batu Sapi sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenangi kerusi itu tanpa sebarang saingan.

Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau mengekalkan kerusinya dengan mudah - menumpaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.

BN dijangka sekali lagi diwakili oleh PBS untuk kerusi Batu Sapi manakala satu lagi parti pembangkang SAPP, juga dikatakan berminat untuk bertanding.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.