Kerajaan digesa supaya menggunakan kurikulum pendidikan Islam yang telahpun disyorkan oleh Lembaga Penasihat Penyelarasan dan Pendidikan Agama Islam (Lepai) untuk digunapakai di sekolah kebangsaan.

Ketika mencadangkan demikian, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Teras Pengupayaan Melayu (Teras) berkata, kurikulum itu hendaklah diserahkan kepada semua Majlis Agama Islam untuk digunapakai di sekolah agama rakyat (SAR) di negeri masing-masing.

Manakala kerajaan negeri dan pusat pula harus membantu SAR dengan memberi sokongan kewangan untuk menjayakan sukatan itu, kata presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azmi juga adalah pengerusi Gerakan Bertindak Umat Selamatkan SAR (Gegar) yang menunjangi usaha pelbagai pihak untuk mempertahankan kewujudan SAR di negara ini.

Di samping itu, katanya, Teras juga berpendapat sistem dan sukatan pendidikan Islam yang digunakan di Johor tidak mencukupi untuk melayakkanya menjadi sistem alternatif kepada yang ada sekarang.

"Ini kerana sukatan itu telahpun dinilai oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan yang mendapatinya terlalu asas dan kandungannya tidak mendalam.

"Mereka yang melalui sistem pengajian Johor juga tidak diterima oleh Kementerian Pendidikan untuk menjadi guru pendidikan Islam," tambahnya.

Tolak

Dengan itu, Mohd Azmi, terus menolak sebarang cadangan untuk menjadikan pendidikan Islam hanya sebagai pelajaran tambahan di sebelah petang sepertimana di Johor sekarang.

Selain itu, katanya, Teras juga keliru dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa sukatan pendidikan Islam sekarang tidak mempunyai isu, selain menekan soal pakaian dan ibadat semata-mata.

"Teras mempersoalkan apakah benar sukatan sekarang hanya bersifat demikian," kata Mohd Azmi sambil menegaskan alasan itu perlu dibuktikan dengan maklumat lengkap supaya sebarang perubahan tidak menjejaskan kandungan pendidikan Islam itu sendiri.

Secara berbandingannya, kata beliau, kandungan sukatan yang diperkenalkan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan telah diimbangi dengan memasukkan ayat al-Quran dan Hadis yang menyentuh soal perniagaan, hukum kemasyarakatan, perimbangan antara keperluan dunia dan akhir, jihad, peperangan serta pelbagai aspek berkaitan prinsip Islam sebagai sistem hidup.

Oleh itu, katanya, kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat, antaranya, komponen manakah yang dikatakan lemah, kenapa tidak berkesan, kenapa sukatan itu diperkenalkan dahulu, untuk apa perubahan itu perlu dilakukan sekarang dan apa tujuan perubahan itu hendak dilakukan.

"Sebarang perubahan yang tidak bertujuan memenuhi kehendak pendidikan Islam, baik dari segi falsafah mahupun penghayatan Islam sebagai cara hidup lengkap yang merangkumi semua aspek kehidupan, tidak akan membawa erti dan hanya akan memesongkan matlamat pendidikan Islam itu sendiri," tegas Mohd Azmi.

Oleh itu, katanya, pendidikan Islam mesti dipertahankan dalam bentuk dan konsep yang tepat agar kefahaman dan amalan Islam benar-benar dapat diterapkan kepada pelajar.