Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pilihan raya Batu Sapi serentak dengan Galas
Diterbitkan:  Oct 15, 2010 11:35 AM
Dikemaskini: 6:59 AM

Tarikh pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi di Sabah akan diadakan serentak dengan pilihan raya kecil dewan undangan negeri Galas iaitu pada 4 November ini.

Manakala tarikh penamaan calon juga diadakan pada hari yang sama, iaitu 26 Oktober ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff.

Keputusan itu dibuat selepas SPR bermesyuarat pagi ini, katanya dalam satu sidang akhbar di Putrajaya.

abdul aziz yusof spr by election bukit gantang selambau 120209 06 Abdul Aziz berkata keputusan itu berdasarkan faktor undang-undang tidak melarang berbuat demikian dan pengalaman SPR sebelum ini yang mengadakan pilihan raya kecil secara serentak di tiga tempat iaitu di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai tahun lalu.

Beliau berkata jika dijalankan serentak, tempoh untuk mengadakan pilihan raya kecil itu menjadi pendek berbanding secara berasingan, sekali gus menjimatkan masa, perbelanjaan SPR dan mengurangkan ketegangan.

Katanya selain itu, SPR melihat tarikh berkenaan sebagai yang terbaik memandangkan faktor ruang yang terhad berikutan banyak peristiwa berlaku menjelang hujung tahun seperti sambutan perayaan Deepavali, Aidiladha, sidang DUN Sabah, awal Muharram, peperiksaan SPM.

"Dan yang paling penting, Sabah telah menyatakan kesediaannya untuk menghadapi pilihan raya kecil.

azlan "Sebanyak 25,582 pemilih yang melibatkan 24,047 pengundi biasa dan 1,535 pengundi pos layak mengundi dalam pilihan raya ini," katanya.

Beliau berkata dua DUN di kawasan Parlimen Batu Sapi iaitu masing-masing Sekong dan Karamunting, mempunyai 11,321 dan 14,261 pengundi.

Menurutnya, daftar pemilih yang digunakan adalah Daftar Pemilih Induk 2009 dan digabungkan bersama dengan daftar pemilih suku tahun pertama dan kedua tahun ini yang dikemaskini pada 9 Oktober lalu.

Menurut Abdul Aziz lagi, Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan Mohamad Hamsan Awang Supain telah dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan beliau akan dibantu oleh empat penolong pegawai pengurus. 

"Sebanyak 45 saluran akan dibuka manakala 405 petugas telah dilantik bagi mengendalikan perjalanan pilihan raya ini," kata Abdul Aziz.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, 9 Oktober lalu.

Edmund Chong Ket Wah, MP Batu Sapi Mendiang menduduki kerusi itu sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa sebarang saingan.

Pada pilihan raya 2008, beliau mengekalkan kerusinya dengan mudah - menumpaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.

SPR, menurut Abdul Aziz  menjangkakan pengumuman keputusan akan dibuat serentak bagi kedua-dua pilihan raya kecil berkenaan iaitu kira-kira jam 8 malam.

ADS