mk-logo
Berita
'Jangan bergantung pada portal, baca Umno-Online'
Diterbitkan:  Oct 17, 2010 10:51 AM
Dikemaskini: 10:53 AM

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan semua anggota Kelab Umno Luar Negara supaya tidak lupa asal usul diri dan sejarah negara ketika berada di luar negara.

Beliau berkata ia adalah penting bagi memastikan jati diri di kalangan mahasiswa di luar negara akan terus dapat diperkukuhkan.

"Setiap daripada kita ini mempunyai sejarah dan sebelum ke luar negara ini, siapa kita (dan) di mana (kedudukan) kita. Tanya diri masing-masing dan barulah kita sedar.

"Kebanyakan kita ini lupa diri dan dah lupa kepada sejarah negara kerana sejarah itulah akan memperbaiki keadaan masa depan diri dan negara," katanya menutup kursus kepimpinan Kelab Umno Luar Negara yang berlangsung selama tiga hari, di Kuala Lumpur hari ini.

Tengku Adnan turut menyarankan agar anggota Kelab Umno Luar Negara tidak terpedaya dengan fitnah yang dilemparkan kepada kerajaan menerusi media baru seperti pelbagai portal berita.

Beliau menyarankan pelajar Malaysia di luar negara supaya sentiasa mengikuti perkembangan politik dan isu-isu semasa melalui portal Umno di www.umno-online.com, dan tidak hanya bergantung maklumat kepada sesuatu portal berita sahaja.

"Masalah kita semua ini ialah lebih suka kepada hiburan picisan. Bila orang maki orang, kita suka kerana ia hiburan picisan. Kita mesti keluar daripada kepompong ini. Kalau kita tidak buat perubahan-perubahan ketara pada diri kita, percayalah kita tidak akan berjaya," katanya.

Beliau dalam pada itu meminta supaya kesemua anggota kelab itu "menjadi mata, telinga dan mulut untuk kerajaan. Ini adalah kerana kerajaan kini sentiasa memikirkan hal rakyat dan masa depan negara."

Pada majlis itu, Tengku Adnan turut melancarkan sebuah buku panduan persediaan bagi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bertajuk Buku Motivasi Pembelajaran Meniti Puncak yang akan diagihkan ke sekolah-sekolah di luar bandar.

Buku tersebut yang dicetak sebanyak 100,000 unit itu turut memuatkan lima prinsip Rukunegara, imej Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, lagu kebangsaan Negaraku dan imej enam Perdana Menteri termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut dimuatkan dalam buku itu ialah lapan nilai gagasan 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti, makna simbol-simbol yang terdapat pada bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang serta monumen bersejarah negara seperti bangunan Parlimen, Istana Negara, Tugu Negara dan Muzium Negara dan fakta

ringkas peta Malaysia yang mengandungi jumlah populasi penduduk di negara ini.

--Bernama

Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS