Most Read
Most Commented
Read more like this

Ketua nombor dua Al-Ma'unah Zahit Muslim memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini bahawa ketua tertingginya Mohd Amin Mohd Razali mempunyai kelebihan "ilmu silat fizikal-batin" dan kepakaran menyembuh dan menimbulkan penyakit dari jarak jauh.

Zahit, yang merupakan tertuduh nombor dua, dalam keterangan membela diri menyatakan Orang Kena Tuduh (OKT) pertama, Mohd Amin adalah ahli yang "paling kuat perkasa" di dalam kumpulan Al-Ma'unah dan beliau (Zahit) sendiri boleh dikalahkan.

Apabila ditanya peguambela, Zamani Ibrahim, perasaannya berhadapan dengan ilmu silat itu, Zahit berkata pengamal ilmu itu "boleh mengarahkan kita berbuat sesuatu dari jarak jauh".

Zahit, yang mempunyai pengalaman selama 10 tahun dalam Pasukan Polis Perhutanan juga berkata "ilmu control minda" boleh mengetahui perasaan atau niat orang lain, ketika disoal peguambela, Zulkarnain Lokman selanjutnya.

Zahit turut menjelaskan keistimewaan Mohd Amin yang lain seperti melakukan perubatan jarak jauh iaitu menjalankan pembedahan tanpa menggunakan pisau.

"Dia boleh menimbulkan penyakit yang boleh membuat orang gila, keracunan macam santau, lumpuh dan banyak lagi," tambah beliau yang mengakui pernah melihat Mohd Amin menggunakan ilmu itu.

Mengutuk kerajaan

Peguambela, Zamani Ibrahim kemudian menyoal sama ada berlaku perubahan dalam sikap diri Mohd Amin. "Saya berasa keliru," jelas beliau terhadap perubahan sikap Amin yang tidak seperti yang beliau kenali dahulu.

Zahit menyebut perubahan tertuduh utama itu "berdiam dan bercakap seorang diri" ketika berada di mahkamah.

Bagaimanapun Timbalan Kanan Pendakwaraya, Mohd Yusof Zainal Abidin bangun membantah keterangan itu dengan alasan orang yang berada di dalam situasi Mohd Amin akan berkelakuan demikian dan hujah perlu ditumpukan kepada insiden di Bukit Jenalik, Perak, di mana mereka dituduh telah berkumpul.

Sementara itu, Timbalan Kanan Pendakwaraya, Datuk Abdul Gani Patail dalam pemeriksaan balasnya petang tadi meminta tertuduh menjelaskan aktiviti kumpulan Al-Ma'unah.

Zahit mengesahkan OKT pertama pernah memberi ceramah "mengutuk kerajaan dan berbincang tentang politik".

"Adakah kamu mendengar cakap dia (Amin)?" soal Gani.

Tertuduh kemudian mengakui gemar mendengar ceramah Amin tetapi tidak pasti sama ada isi kandungan ceramah "ada menuduh kerajaan adalah zalim dan perlu digantikan dengan kerajaan Islam".

Bagaimanapun sebelum insiden Sauk itu, beliau berkata Amin ada menyebut kerajaan zalim dan kerajaan Islam berlandaskan Al-Quran adalah lebih baik.

Zahit yang merupakan Timbalan Presiden kumpulan itu kemudian mengesahkan beliau berasa terkejut dengan ceramah yang mirip kepada politik.

Bom ikan

Sebelum itu, semasa memberikan keterangan, tertuduh kedua didapati keliru apabila tidak dapat memastikan jawatan penting seperti siapa setiausaha dan bendahari kumpulan itu.

Gani membalas, "Awak sebagai Timbalan Presiden tidak dapat beritahu (mahkamah)". Timbalan Pendakwaraya itu berseloroh bahawa minda tertuduh mungkin dikawal sehingga tidak dapat memberi keterangan kepada hakim, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.

Zahit turut mengesahkan kumpulan yang didaftarkan untuk mengajar seni mempertahankan diri dan mengamal perubatan tradisional melakukan aktiviti membuat "bom ikan", latihan menggunakan ' cross bow ' (busar), belajar memasak nasi dalam buluh dan menonton video kumpulan Al-Ma'unah di Indonesia dengan pihak tentera.

Zahit ialah antara 19 anggota kumpulan, termasuk Mohd Amin, yang telah diarahkan supaya membela diri dalam kes melancarkan peperangan yang pertama di negara ini terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut pada bulan Jun hingga 6 Julai pada tahun 2000 di Pos 2, Km 9, Kuala Rui, Jalanraya Timur-Barat, Grik; Batalion 304, Infantri (AW), Kem Grik, Grik; dan di Bukit Jenalik, Sauk, kesemuanya di Perak.

Kesalahan ini di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan membawa hukuman gantung atau penjara seumur hidup.

Sepuluh daripada 29 anggota kumpulan yang dituduh pada mulanya sudahpun mengaku membuat persiapan untuk melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan telah dihukum penjara selama 10 tahun.

ADS