BERITA

Rais: Laporan polis ke atas Rocky Bru hak saya

Diterbitkan
Dikemaskini 21 Okt 2010, 11:12 tengahari

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim mendakwa  tindakannya membuat laporan polis terhadap seorang penulis blog adalah bertepatan dengan haknya sebagai individu negara ini.

Katanya tindakan itu wajar mengikut peruntukan undang-undang bagi mendapat perlindungan setelah namanya tercemar berikutan laporan di dalam blog berkenaan.

umno agm egm 151009 ali rustam adnan rais yatim shafie apdal "Saya mempunyai hak sendiri sebagai individu, kita harus menghormati undang-undang sedangkan hari ini pun PM (Perdana Menteri) cakap kena hormat undang-undang. Jadi setiap individu perlu menghormati undang-undang yang ada di negara kita.

"Saya tidak ada melibatkan sesiapa. Barang siapa yang mencemarkan dan memburukkan sesiapa, waima, beliau seorang penulis blog ataupun seorang kerani, kita mempunyai hak masing-masing, jadi ini yang saya tegaskan," katanya kepada  pemberita selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 12 Oktober lalu, Rais membuat laporan polis terhadap Rocky’s Bru atau nama sebenarnya Datuk Ahirudin Atan ( bawah, kanan ) yang di dalam blognya mendakwa kononnya anak lelaki menteri itu mempunyai kepentingan dalam kementerian itu dengan memperoleh geran RM1 bilion bagi menaik taraf akses jalur lebar di seluruh negara.

rocky bru ahirudin attan Selain itu, Rais juga berkata semua pihak sewajarnya menghormati peraturan dan undang-undang negara yang dibuat untuk melindungi rakyat semua peringkat.

"Misalnya, kalau kita takut kepada mengimplikasi undang-undang yang kita cipta, ini bukan satu keadaan yang positif, ini negatif. Jadi apa kita jadikan undang-undang, kita perlu ikut dan jadikan azimat perjuangan kita.

"Saya tergolong kepada orang seperti itu, jadi saya tidak menakuti mana-mana komen tapi kalau melanggar hak saya sebagai individu, saya perlu mengambil lindungan di bawah undang-undang negara," katanya.

Sementara itu, mengulas ucapan Datuk Seri Najib Razak semasa merasmikan Perhimpunan Agung Umno yang menegaskan bahawa hak-hak orang Melayu dilindungi  dalam Perlembagaan, Dr Rais berkata orang Melayu tidak seharusnya terus menerus bergantung kepada peruntukan Perlembagaan itu.

NONE "Kalau orang Melayu hanya bertongkat mahu berjalan, ini tentu sekali tidak membawa kita ke mana-mana.

"Kita perlu berganding bahu dengan orang bukan Melayu, rakan-rakan Cina dan rakan-rakan India kita, bagaimana mereka bertahan kerana kita perlu berkebolehan untuk mencapai tahap seperti mereka," katanya.

Beliau turut meminta semua pihak untuk menghormati asas-asas Perlembagaan negara membabitkan Raja-Raja Melayu, Kontrak Sosial dan kuasa-kuasa rizab Melayu kerana ia telah dipersetujui oleh "nenek moyang kita terdahulu".   

NONE Rais juga menyifatkan ucapan Perdana Menteri berhubung hak istimewa orang Melayu sebagai "tindakan berani" dan menjadi satu titik permulaan yang mampu menyemarakkan lagi perjuangan Umno.

"Ini adalah mesej yang sangat jelas, yang seharusnya kita perjelaskan ke bawah selepas ini. Kita perlu memberi tahniah kepada Perdana Menteri dan Presiden yang berani tampil kemuka menjelaskan situasi ini.

“Kontrak sosial itu adalah tulang belakang kepada Perlembagaan Malaysia. Seharusnya ucapan ini dijadikan azimat perjuangan dan orang Melayu khasnya serta orang Malaysia amnya kena menghormati Perlembagaan Malaysia,” katanya.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.