Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Exco kanan kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa mempersoalkan kos pembinaan yang tinggi bagi setiap unit rumah dalam Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang yang dilancarkan timbalan perdana menteri Sabtu lalu.

husam musa "Harga (peruntukan kos untuk membina) terlalu tinggi, RM120,000 bagi (unit seluas) 700 kaki persegi di Gua Musang untuk flat 5 tingkat 18 blok.

"Jadi kos di Kelantan ini saya rasa paling tinggi RM50,000 atau RM60,000 setiap unit. Kalau kita pergi Damansara Damai (Petaling Jaya) itu, (rumah seluas) 300 kaki baru dijual dengan harga RM95,000," katanya lagi.

Menurutnya, beliau membuat perkiraan itu berdasarkan peruntukan sebanyak RM180 juta yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membina 1,500 unit rumah berkenaan.

Laporan sebelum ini menyebut, subsidi yang diberikan kerajaan bagi setiap unit rumah tersebut adalah antara RM45,000 hingga RM85,000.

Ia juga boleh disewakan pada kadar serendah RM124 sebulan manakala harga jualannya pula ditetapkan supaya tidak melebih RM35,000.

"(Dengan subsidi sebanyak itu) baik kita bagi rumah itu free saja," kata Husam lagi ketika ditemui di pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Galas, di Gua Musang pagi ini.

Dengan sinis, beliau turut mencadangkan supaya jumlah unit rumah tersebut ditambah kepada 2,000 unit. Melalui langkah itu, kesemua pengundi Cina yang berdaftar bagi pilihan raya kecil itu akan berjaya menduduki rumah berkenaan, katanya lagi.

Beliau membuat kesimpulan itu berdasarkan perkiraan mudah sekiranya setiap keluarga berkenaan terdiri daripada sepasang ibu bapa dan seorang anak.

Husam juga membangkitkan sedemikian dengan mengaitkan janji yang diberikan BN untuk membahagikan rumah berkenaan secara sama rata, selari dengan pendekatan inklusif mereka.

"Barulah semua orang Cina akan dapat rumah dan rumah mereka sekarang akan kosong dan mereka boleh sewa kepada orang lain. Jadi saya rasa tak berapa masuk akal (cadangan bina PPR) itu," katanya lagi.

ADS