Hab hiburan: NGO Islam tunggu pilihan raya

       

Seperti dijangkakan, tindakan kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam mula mendapat tentangan kumpulan NGO Islam.

Bagi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), tindakan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu 'disambut' mereka secara amat sinis.

NONE "Tahniah kerana (kerajaan) berjaya menghancurkan rakyatnya," kata Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Ma'amor Osman ( kiri ) sambil menyifatkannya sebagai pengkhianatan kepada pentadbiran perdana menteri sebelum ini, khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan kelmarin, pentadbiran Najib mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam bagi memacu industri pelancongan.

Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Lebih mengejutkan, EPP mencadangkan penubuhan zon hiburan di lima negeri, termasuk Lembah Klang yang akan menyaksikan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam menjelang 2014.

Budaya berfoya-foya

Ketika dihubungi Malaysiakini tengah hari ini, Dr Ma'amor - pemimpin NGO Islam yang dilihat agak 'rapat' dengan kerajaan - berkata, rancangan ETP itu menyalahi pelbagai perkara, termasuk gagasan Wawasan 2020 yang mahu negara ini maju dengan acuan sendiri.

NONE "Budaya kelab malam ini bukan budaya Timur. Ia budaya Barat, budaya berfoya-foya.

"Saya ucap tahniahlah kerana berjaya mengkhianati negarawan negara (Dr Mahathir)," katanya.

Ditanya berhubung tindakan susulan PPIM bagi menyatakan menangani rancangan itu, Ma'mor berkata:

"Kita tak pergilah (ke kelab malam). Boikot pun tak guna. Tak ada ahli kita yang pergi ke kelab malam. Tunggu pilihan rayalah nanti."

PPIM antara NGO pengguna Islam yang diingati kerana kempen boikot produk barangan tertentu seperti barangan keluaraan Yahudi dan Amerika Syarikat sebelum ini.

Merafak sembah pada Agong

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Jais Abdul Karim pula menggesa kerajaan memikirkan semula kewajaran tindakan itu kerana ia "punca kepada masalah sosial".

umno youth rally 090209 jais abdul karim gpms vice chief "Kita risau (jika) spa dan disko diperbanyakkan, keupayaan kita untuk membendung masalah sosial bertambah buruk," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Menurutnya, rancangan itu "tidak sesuai" sebaliknya kerajaan perlu memikirkan kelainan untuk ditunjukkan kepada pelancong seperti melalui pusat makanan tradisional, muzium budaya atau program homestay .

"Saya berpendapat pelancong luar datang bukan nak untuk melihat kelab malam sebab di negara mereka kelab malam lebih canggih dan menarik," katanya.

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) pula mahukan perdana menteri menarik balik rancangan dalam program ETP itu bagi menghormati kedudukan agama Islam di sisi Perlembagaan Persekutuan.

"PPMM juga merafak sembah kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong agar mempertahankan jati diri kebangsaan yang berteraskan kepada Islam dalam setiap tindakan kerajaan," kata presidennya Zainul Rijal Abu Bakar dalam satu kenyataan.

Hab halal lebih utama

Zainul Rijal berkata rancangan itu juga tidak selari dengan satu prinsip Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan.

halal logo Sementara itu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) pula berpendapat, Malaysia tidak sesuai dijadikan hab hiburan memandangkan negara ini diiktiraf sebagai negara Islam.

"Sebagai sebuah negara Islam, kerajaan seharusnya membangunkan industri pelancongan yang memberi peluang kepada pelancong untuk mengenali warisan Islam negara dan melihat masyarakat Islam negara ini yang hidup aman damai dengan kewujudan pelbagai agama," kata setiausahanya Dr Mohd Roslan Mohd Nor.

Katanya, banyak kaedah untuk memacu ekonomi negara antaranya dengan menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan sains dan pendidikan Islam.

"Dan lebih utama dikembangkan hab halal dengan memperkenalkan pelancongan halal sebagai keunikan Malaysia tersendiri," kata Mohd Roslan lagi.

Malaysiakini
terkini untuk anda