BERITA

Korban tsunami mencecah 311 orang

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Okt 2010, 10:35 pagi

Jumlah korban tsunami yang melanda kepulauan terpencil Indonesia sehingga ini meningkatkan kepada 311 orang, sekaligus mencetuskan persoalan sama ada sistem amaran gagal berfungsi.

NONE Pada masa yang sama, kebimbangan semakin meningkat mengenai nasib ratusan lagi yang masih hilang selepas gempa bumi Isnin lalu mencetuskan gelombang besar  yang melanda kepulauan Mentawai berhampiran pantai barat Sumatera.

Sementara itu, majlis pengkebumian beramai-ramai diadakan hari ini untuk mensemadikan korban letupan gunung berapi, yang terjadi sejurus selepas berlaku gempa bumi yang mencetuskan tsunami tersebut.

Para pegawai berkata mayat-mayat ditemui di kawasan pantai di Mentawai, selepas tsunami memusnahkan keseluruhan perkampungan di kepulauan itu.

NONE "Seramai 311 terkorban dan 379 lagi masih hilang," kata pegawai pengurusan bencana di Sumatera, Agus Prayitno.

Mangsa yang selamat berkata, mereka tidak menerima sebarang amaran dan ramai yang bertanya apakah sistem amaran mahal - yang diwujudkan selepas tsunami di Asia pada 2004 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 168,000 orang di Indonesia sahaja - gagal berfungsi.

Satu amaran rasmi tsunami dikeluarkan selepas berlakunya gempa bumi dengan kekuatan 7.7 di skala Richter, tetapi ia mungkin terlambat dikeluarkan atau tidak sampai kepada masyarakat yang terdedah kepada bahaya besar bencana itu.

NONE Seorang petani, Borinte, 32, berkata gelombang menghempas perkampungannya di kepulauan Pagai Utara, hanya 10 minit selepas penduduk merasakan gegaran gempa bumi itu.

"Kira-kira 10 minit selepas gempa bumi, kami terdengar bunyi gemuruh. Kami keluar dan terlihat gelombang menuju ke arah kami. Kami cuba menyelamatkan diri ke kawasan tinggi tetapi gelombang jauh lebih cepat daripada kami," katanya kepada AFP .

Katanya, dia terselamat dengan menggenggam sepotong kayu. Isteri dan tiga anaknya terkorban.

Sementara itu, gerakan mencari mangsa yang masih hilang diteruskan.

"Mereka mungkin berlindung di kawasan bukit, atau tertimbus dalam runtuhan atau dihanyut ke laut," kata pegawai pengurusan bencana wilayah Sumatera Barat, Ade Edward.

NONE Di Jawa Tengah, pasukan penyelamat menemui sekurang-kurang 32 mayat selepas Gunung Merapi meletup Selasa lalu.

Para pegawai berkata hampir 42,000 orang mencari perlindungan sementara di sekitar bandarayua Yokyakarta, tetapi ada kebimbangan mengenai nasib ribuan lagi penduduk yang enggan meninggalkan rumah mereka.

Gunung Merapi setinggi 2,914 meter adalah antara 69 gunung berapi di Indonesia yang mempunyai sejarah pernah meletup sebelum ini. Ia pernah meletup pada Jun 2006, membunuh dua orang.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.