Gerakan Bertindak Umat Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (Gegar) amat berharap persidangan Majlis Raja-Raja mulai esok, akan membuat keputusan yang berpihak kepada penerusan dan kelangsungan sekolah agama rakyat (SAR) sebagai institusi pendidikan Islam di negara ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Gegar menegaskan bahawa dalam memorandumnya kepada semua ahli Majlis Raja-Raja Melayu, ia telah memberi komitmen bahawa umat Islam di negara ini berdiri teguh di belakang Majlis Raja-Raja yang akan membawa usul mempertahankan SAR dalam persidangannya esok.

Memorandum 21-muka surat itu turut dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad; timbalannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Brig-Jen (B) Abdul Hamid Zainal Abidin.

Memorandum yang sama turut dihantar kepada Ketua Pembangkang, yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, para menteri besar, mufti negeri dan yang dipertua Jabatan Agama Islam Negeri.

Pengerusi Gegar, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dalam memorandum tersebut, pihaknya berpendirian bahawa kerajaan pusat perlu segera membayar balik wang perkapita SAR yang diberhentikan setahun lalu kerana tindakan itu satu penganiayaan dan ugutan yang mencabuli demokrasi serta hak asasi guru, pelajar dan ibu bapa keseluruhannya.

Katanya, Gegar juga memohon kepada pihak yang berkenaan, terutama media massa agar tidak lagi memburuk-burukkan SAR tanpa ada penjelasan yang adil oleh semua pihak.

"Prejudis yang jahat terhadap SAR tidak akan menyelesaikan isu yang timbul, bahkan akan membangkitkan ketidakpuas hati rakyat terhadap pihak-pihak yang berkenaan," tegas Mohd Azmi.

Kelemahan

Gegar, katanya, berpendapat usaha menutup SAR adalah satu tindakan yang merugikan umat Islam dan negara keseluruhannya kerana selama ini, pelajarnya tidak pernah menimbulkan masalah kepada masyarakat, bahkan melahirkan ramai warganegara yang menjadi pemimpin negara.

"Jika ada pihak yang mendakwa SAR melahirkan pelajar yang ekstremis, tidak ada peluang pekerjaan dan tidak mempunyai masa depan yand cerah dan pelbagai dakwaan lagi, maka kita memohon kepada pihak berkenaan membuktikannya dengan jujur dan ikhlas," tambahnya.

Mohd Azmi berkata, selain hanya menuding jari terhadap SAR, kajian juga perlu dibuat mengenai pelajar sekolah kebangsaan yang juga mempunyai kelemahan dan kepincangan yang perlu diperbaiki.

Beliau juga mempersoalkan tindakan kerajaan pusat memberhentikan bantuan perkapita SAR tetapi dalam masa yang sama, terus memberi bantuan kepada institusi pendidikan lain seperti sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

"Jika dakwaan sesetengah pihak bahawa SAR tidak ada prasarana yang lengkap, guru terlatih dan sistem pengajaran yang lemah, maka bantulah untuk mengatasinyanya, dan bukannya berusaha untuk menutup SAR dari arus pendidikan perdana," tambahnya.

Mohd Azmi berkata, Gegar akan sedaya upaya mengembleng seluruh rakyat yang menjadi pendokong SAR untuk menggerakkan kempen bagi menyelematkan SAR daripada difitnah, diburuk-burukkan dan dijadikan kepentingan politik kepartian tertentu.

Gegar juga, katanya, akan menggerakkan usaha bagi membantu mempertingkatkan kualiti dan kecemerlangan pendidikan SAR berteraskan keilmuan Islam yang syumul demi meneruskan kelangsungan SAR sebagai institusi pendidikan Islam yang menjadi alternatif pendidikan rakyat.