Datuk Zaid Ibrahim akan mengadakan taklimat khas untuk penyokongnya di Kedah malam ini - yang dijangka menjadi permulaan kepada program menjelajah ke seluruh negara.

Menurut satu undangan media dari pembantu Zaid, beliau akan menemui "pasukan PKR Kedah" di Taman Intan, Sungai Petani malam ini di mana beliau akan mengadakan perbincangan mengenai "perkembangan politik terkini dalam PKR".

Zaid dijangka menjelaskan mengenai dakwaan penyelewengan dalam pemilihan parti dan mengulangi tuntutannya supaya ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan naib presiden Azmin Ali berundur.

Perjumpaan malam ini diadakan dua hari selepas Zaid mengumum menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden PKR.

Beliau dan seorang pesaing jawatan tersebut, Mustaffa Kamil Ayub, mendakwa bahawa Azmin - yang sedang mendahului jumlah undi - di sebalik penyelewengan dalam pemilihan tersebut. Mereka juga mendakwa ibupejabat parti itu turut bersubahat.

Dalam perkembangan berkaitan, 24 ketua bahagian PKR mendesak parti menunda pemilihan parti, sementara menunggu selesai siasatan terhadap dakwaan penyelewengan tersebut.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS