mk-logo
Berita
Idris: PAS tak akan naiki kapal bocor
Diterbitkan:  Nov 15, 2010 10:50 AM
Dikemaskini: 10:53 AM

PAS hari ini terus menolak pelawaan berulang-kali Umno supaya parti Islam itu menyertai semula BN. Pelawaan terbaru dibuat oleh Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.

“PAS tidak akan menaiki kapal yang bocor dan hendak karam, malahan PAS akan berusaha supaya  ahli-ahli Umno khususnya dan orang Melayu Islam bersama dengan PAS.

pas muktamar 130610 idris ahmad “PAS tidak akan bersama dengan BN sebaliknya terus dengan Pakatan Rakyat yang sudah teruji dan terbukti. Sekarang Umno  sudah hilang kompas perjuangan dan ideologi.,” kata ketua penerangan PAS, Idris Ahmad, dalam satu kenyataan hari ini.

Sambil menyindir perjuangan Umno yang hanya mementingkan ‘perut’ pemimpin atasan Umno, katanya, parti Melayu itu hanya menjadikan perjuangan sebagai batu loncatan untuk peribadi walaupun merugikan bangsa.

“Umno hanya boleh hidup dengan 3M sahaja, iaitu wang, jentera kerajaan dan media. Umno sudah tidak bermaya untuk hidup dan bermain di atas padang yang sama rata. Jika Umno tidak ada 3M maka Umno akan berkubur begitu sahaja,” kata Idris.

Menurutnya,  PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat, kerana ini adalah percubaan politik yang terbaik walaupun dalam usia yang agak muda.

pas umno general election 021104 “PAS menganggap cukuplah Umno yang telah diberi mandat untuk mengetuai negara lebih separuh abad. Apa yang Umno boleh banggakan untuk tatapan generasi akan datang?” soalnya.

Idris berkata walaupun Malaysia dianugerah Allah dengan hasil mahsul yang banyak, namun masih ramai  rakyat yang tidak bertanah. Malah ramai pula rakyat yang menderita dan dalam  kesusahan akibat tekanan hidup angkara salah guna kuasa oleh BN.

“Contohnya Sabah, tanah yang terbentang luas, hasil yang melimpah ruah, namun masih ada rakyat yang membina rumah di atas air. PAS tidak akan izinkan Umno ,mengkhianat rakyat untuk separuh abad yang kedua pula. PAS wajib ganti Umno,” katanya.

Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS