SAR berhak dapatkan wang perkapita: pensyarah
Walaupun bantuan perkapita kepada sekolah agama rakyat (SAR) disalurkan oleh kerajaan pusat, tetapi tidak semestinya ia berhak menariknya balik kerana sumber hasil kerajaan datangnya dari pembayar cukai dan bukannya hak mutlak kerajaan, kata pensyarah undang-undang, Prof Madya Dr Abdul Aziz Bari.
Menurut pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu, isu penarikan bantuan perkapita perlu dilihat dari segi konteks hak, khususnya dalam hubungan rakyat sebagai pembayar cukai dan kerajaan selaku pemegang amanah.
"Di sinilah kemungkinan berlakunya penafian hak di bawah doktrin harapan yang sah (legitimate expectation) yang mensyaratkan, sebelum sesuatu tindakan menarik balik atau menafikan sesuatu itu diambil, peluang memberi penjelasan hendaklah diberi kepada pihak yang hendak dikenakan tindakan itu," katanya
Sehubungan itu, katanya, SAR sepatutnya diberi peluang membuat penjelasan sebelum tindakan menarik balik bantuan perkapita diambil, tegasnya.

Menurutnya, walaupun saluran kewangan kepada SAR itu hanyalah satu bantuan, kerajaan tidak boleh menarik balik bantuan itu dengan sewenangnya.
Walaupun pemberian "bantuan" itu adalah atas budibicara si pemberi, tetapi di segi undang-undang, sebarang kuasa bersifat budibicara, mestilah dilaksanakan dengan adil, katanya.
Pengisytiharan mahkamah
"Jika budibicara itu tidak dilaksanakan dengan adil, ianya boleh diisytiharkan sebagai tidak sah oleh mahkamah," katanya.
Pandangan beliau itu terkandung dalam kertas kerja bertajuk "Kontroversi SAR: Beberapa perspektid perlembagaan dan perundangan" yang dibentangkannya di kovensyen nasional SAR anjuran Persatuan Ulama Malaysia di Kuala Lumpur Ahad lalu.
Isu SAR menjadi kontroversi semenjak Oktober lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad megumumkan pemberhentian bantuan kewangan kepada sekolah agama tersebut.
Dr Mahathir mendakwa sekolah terbabit bukan menyebarkan pengajaran Islam tetapi sebaliknya menyemai kebencian pelajarnya terhadap kerajaan. Bagaimanapun, pendokong SAR menyangkal dakwaan itu dan berkata keputusan itu telah dibuat atas dasar politik Umno.
Berdasarkan urutan peristiwa yang membawa kepada keputusan itu, menurut Dr Abdul Aziz, jelas menunjukkan kerajaan tidak pernah memberi peluang kepada SAR untuk membuat penjelasan sebelum bantuan itu ditarik balik.
"Oleh kerana peluang membuat penjelasan itu tidak diberi, maka timbul keraguan yang munasabah terhadap penarikan bantuan itu," tambahnya.
Pilihan
Berdasarkan kepada fakta bahawa bantuan perkapita itu telah disalurkan bertahun-tahun lamanya, maka beliau berpendapat, SAR juga mempunyai hak di sisi undang-undang untuk terus menerimanya.
Kontroversi SAR, katanya, juga boleh di bawa ke mahkamah di mana pendokong SAR boleh mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa tindakan ke atas SAR adalah salah dan bertentang dengan perlembagaan.
"Dari sudut perlembagaan dan undang- undang, apa yang penting ialah hak ibubapa untuk menghantar dan memilih sistem dan sekolah, tiada siapa pun boleh masuk campur, apalagi sekiranya pilihan itu berkaitan dengan soal agama," katanya.
Beliau berkata walaupun kerajaan mendakwa ia tidak akan menutup SAR, namun tindakan kerajaan jelas "mencekik" perkembangan dan perjalanan SAR.
Tekanan terhadap SAR juga, tegasnya, bertambah teruk dengan kenyataan kerajaan untuk "memantau" SAR di samping laporan media yang memaparkan imej negatif mengenai sekolah-sekolah terbabit.
Gangguan seperti in, katanya, adalah salah di sisi undang- undang kerana ia memberi kesan negatif terhadap mereka yang membuat pilihan itu yang semestinya dihormati tanpa sebarang tekanan atau ejekan.
Nasihat kerajaan
"Laporan negatif itu juga boleh dianggap sebagai satu tekanan kerana ia boleh membuat ibubapa, para guru dan pelajar merasa takut atau tidak senang," tambahnya.
"Kalau ada pemimpin yang tidak suka orang Islam menghantar anak mereka ke SAR, mereka boleh berpandangan demikian kerana itu adalah hak mereka. Tapi mereka tidak boleh menyekat mana-mana orang Islam dari memilih sekolah yang mereka fikir sesuai.
"Soal pandangan sempit, watak ekstrim dan lulusan SAR tidak mempunyai masa depan, adalah perkara subjektif dan bersangkut dengan nilai hidup masing -masing dan hak ini jelas dilindungi oleh perlembagaan," tegasnya.
Dr Abdul Aziz berkata soal kerajaan hendak menutup sistem pendidikan SAR juga tidak perlu timbul kerana kerajaan tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk membuat keputusan dalam hal yang melibatkan agama kerana ianya adalah di bawah budibicara Raja-Raja Melayu.
"Penyerahan memorandum kepada Majlis Raja-Raja juga tidak boleh dikatakan sebagai mengheret Raja-Raja dalam kancah politik kepartian. Ini adalah kerana mereka mempunyai peranan dan kuasa rasmi untuk dalam soal agama," tegasnya.
Dalam menjalankan kuasa agama, katanya, Raja-Raja tidak perlu mendapat nasihat kerajaan kerana ianya terletak dalam bidang budi bicara mereka.
"Raja-Raja juga boleh menolak nasihat kerajaan dalam soal-soal agama," katanya.
Sehingga tahun 2002, katanya, terdapat 268 SAR, iaitu 43 sekolah rendah (8,078 pelajar dan 520 guru) dan 225 sekolah menengah dengan 66,375 pelajar dan 3,909 guru.

Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.