BERITA

PAS anjur majlis 25 tahun Memali

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Nov 2010, 6:26 pagi

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara tokoh yang akan mewarnai sambutan majlis memperingati 25 Tahun Memali, lapor HarakahDaily .

pas muktamar 130610 abdul hadi awang Setiausaha Pemuda PAS Kedah, Mohd Rosli Azmi berkata, perasmian majlis itu akan disempurnakan Abdul Hadi, esok, jam 9 malam. Turut dijadualkan berucap adalah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan.

Anwar pula akan mengisi pentas pidato pada hari kedua program, pada 20 November ini bersama timbalan pesuruhjaya dan ketua penerangan PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Datuk Amiruddin Hamzah.

Pada malam terakhir, ceramah akan disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub; Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abd Rani dan Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Pelbagai acara akan dilangsungkan sepanjang majlis tiga hari itu antaranya konvoi pemuda, persembahan nasyid dan pentomen, tahlil perdana, acara pasti, klinik ‘smart’ solat, ijtimak ulama dan guru-guru pondok serta ijtimak pelajar Memali.

Turut diadakan juga adalah pameran Memali dan Pendidikan Islam Kedah, kaunter pemeriksaan kesihatan dan perubatan percuma, kaunter daftar pemilih, kaunter keahlian PAS dan sukarelawan pemuda PAS Kedah serta gerai-gerai jualan.

NONE Sehubungan itu, PAS menjemput orang ramai hadir ke program tersebut yang akan dilangsungkan di Madrasah Islahiah Diniah dan perkarangan rumah Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya di kampung Memali.

Tragedi Memali pada 1985 menyaksikan 14 orang terbunuh ketika bangkit menentang lebih 3,000 anggota polis yang cuba menahan Ibrahim Libya yang merupakan orang kuat PAS dan 35 pengikutnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Mereka didakwa  disyaki terlibat dalam kegiatan yang menggugat keselamatan negara.

Menurut kerajaan, semasa operasi tersebut, pihak polis telah diserang oleh pengikut-pengikut Ibrahim dengan bersenjatakan senjata api, parang, pedang dan buluh runcing.

Pihak polis telah menyeru mereka supaya meletakkan senjata dan menyerah diri secara aman tetapi didakwa tidak diendahkan dan demi mempertahankan diri dan mematahkan serangan tersebut, pihak polis mendakwa terpaksa menggunakan senjata api dan melepaskan tembakan.

Peristiwa tersebut, telah mengorbankan empat anggota polis dan 14 orang awam termasuk Ibrahim manakala 23 anggota polis dan 14 orang awam mengalami kecederaan.

Selepas tragedi berdarah kira-kira 25 tahun lalu itu, kerajaan BN  sentiasa dikaitkan dengan arahan menembak penduduk kampung tersebut.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.