Mahathir: Lim Chong Eu popularkan FDI
Ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, mendiang Tun Dr Lim Chong Eu telah menyebabkan perkataan Pelaburan Langsung Asing (FDI) menjadi sebutan di Malaysia dan mungkin juga di dunia, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menerusi blognya, Dr Mahathir berkata Dr Lim juga telah membawa pelaburan asing pertama dalam bidang elektronik ke Pulau Pinang.
"Ia merupakan perkara terbaik bagi mengatasi pengangguran yang menghantui Malaysia ketika itu," katanya.
Dr Lim, 91, meninggal dunia di kediamannya di Tanjong Bungah, kira-kira 9 malam semalam.
Dr Mahathir berkata Dr Lim merupakan tokoh yang bertanggungjawab menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat bagi transformasi Malaysia kepada sebuah negara perindustrian.
Dr Lim juga tidak pernah keletihan dalam usahanya, selain hampir sendirian menghubungi serta memujuk usahawan asing supaya melabur dalam industri elektronik yang baru itu.
Tewas mengejut
"Usaha beliau amat berjaya sehingga Pulau Pinang kekurangan pekerja dan ini menyebabkan negeri lain juga mendapat manfaat daripada usahanya yang mencipta banyak peluang pekerjaan," kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir berkata beliau pernah bekerja secara rapat dengan Dr Lim dan mendapati mendiang seorang yang terbuka kepada cadangan berhubung pembangunan Pulau Pinang dan Malaysia.
Beliau berkata ketika Dr Lim kalah pada pilihan raya umum tahun 1990, keputusan itu amat mengejutkannya.
"Saya fikir orang Pulau Pinang tentu akan ingat khidmat beliau dan ia mampu mengatasi sentimen kepartian. Namun, nampaknya harapan saya itu mungkin keterlaluan.
"Sebagai seorang nasionalis, seorang kawan, seorang rakan seperjuangan, saya berasa amat sedih dengan apa yang terjadi ketika itu dalam episod kehidupan Tun Dr Lim Chong Eu," katanya.
Menurut Dr Mahathir, dengan Tun Razak sebagai pengecualian, Dr Lim merupakan penyumbang terbesar kepada pembentukan Barisan Nasional (BN), parti komponen yang menggantikan Perikatan, memerintah serta membangunkan Malaysia sehingga hari ini.
"Beliau memberi maklum balas positif kepada cadangan Tun Razak untuk kembali menyertai parti komponen itu demi kebaikan Malaysia.
"Beliau bangkit daripada banyak episod duka yang telah menyebabkan beliau meninggalkan MCA serta sanggup menjadi rakan kongsi junior (dalam Barisan Nasional), walaupun pada hakikatnya, beliau telah begitu berjaya.
"Beliau juga berpuas hati dengan sekadar menjadi seorang Ketua Menteri di Pulau Pinang," kata Dr Mahathir.
- Bernama