Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zaid tubuh parti baru Januari ini
Diterbitkan:  Nov 26, 2010 11:48 PM
Dikemaskini: 6:19 PM

Bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan akan menubuhkan parti baru pada Januari depan.

    

Bercakap dalam sidang akhbar di kediamannya di ibunegara malam ini, Zaid berkata butiran lanjut mengenai nama parti, bentuk perjuangan dan organisasi parti baru itu akan diumumkan Januari ini.

    

NONE Beliau, bagaimanapun, memberi jaminan bahawa beliau tidak akan menggunakan nama 'Keadilan' atau Parti Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) dalam penubuhan parti baru itu kelak.

    

"Nama itu (keadilan) biarlah mereka sahaja yang pakai, begitu juga nama AKIM," katanya ketika ditanya pemberita kemungkinan beliau akan menggunakan nama itu seperti mana yang diandaikan beberapa penulis blog.

    

Ditanya sejauh mana keyakinannya untuk menubuhkan parti baru itu, Zaid berkata: "Saya ingin memberi keyakinan kepada kawan-kawan bahawa kita akan ada parti baru dalam negara...saya beri keyakinan bahawa kita bukan parti kecil...kita akan jadi kuat dan besar."

    

Mengenai sokongan kepada parti baru itu, Zaid berkata, walaupun tidak akan mendapat sokongan seratus-peratus, namun beliau yakin akan mendapat sokongan besar bukan sahaja daripada bekas anggota PKR tetapi juga Umno dan PAS.

    

Sebelum sidang akhabr itu, Zaid, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, mengadakan majlis untuk meraikan para penyokongnya daripada Johor, Kedah, Perak dan Melaka.

    

Ditanya sama ada dengan penubuhan parti baru itu sekaligus membuktikan dakwaan bahawa beliau sememangnya 'kemaruk' untuk menjadi presiden parti, Zaid sinis berkata: "Kalau saya tidak buat parti baru pun memang sudah dituduh sebegitu, jadi biarlah saya menjayakan harapan mereka itu."

    

Zaid menyifatkan perjuangan politiknya masih belum selesai apabila beliau membuat keputusan untuk keluar daripada PKR.

    

Pada 8 November lalu, Zaid yang menyertai persaingan untuk merebut jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan kali ini, bertindak keluar dari parti itu.

- Bernama

ADS